AGENDA

Menteri: Isu bendera terbalik kesilapan ketara pihak bertanggungjawab

14 Dis 2024, 11:13 AM
Menteri: Isu bendera terbalik kesilapan ketara pihak bertanggungjawab

PONTIAN, 14 DIS: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyifatkan isu melibatkan penggunaan Jalur Gemilang terbalik pada jersi pemain perseorangan lelaki profesional badminton negara Lee Zii Jia, sebagai kesilapan ketara dan kecuaian kritikal oleh pihak yang bertanggungjawab.

Bagaimanapun beliau berkata pihaknya tidak mempunyai maklumat sama ada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ada menerima aduan atau laporan mengenai insiden berkenaan.

"Saya ambil maklum pihak terlibat telah ada (membuat) permohonan maaf. Bagi saya itu kesilapan yang ketara melibatkan baju yang dipakai pemain yang cukup dikenali, mewakili dan membawa bendera Malaysia.

"Jadi saya anggap itu satu kecuaian yang agak kritikal. Sekiranya ada siasatan, kita serah kepada pihak berkuasa untuk siasat," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat berkaitan projek pembuktian konsep (POC) Tarana di Dewan Masyarakat Kampung Seri Bunian, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga tidak menerima sebarang maklumat sama ada laporan berhubung insiden berkenaan telah dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau agensi penguatkuasaan lain.

"Cuma nasihat saya, pengguna media sosial diharap berpada-pada dalam memberikan komen, kadangkala komen kita boleh disalah faham atau disalah erti dan kita tak nak ada keadaan mengapi-apikan. Biarlah kita ambil tindakan bersesuaian yang adil dan kita nak situasi seperti ini tidak berulang," katanya.

Pada Rabu lepas (11 Dis) lepas, penaja jersi pemain berkenaan Victor Malaysia, telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf dan akan menyiasat perkara berkenaan yang berlaku pada kejohanan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sementara itu dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata Kongres Nasional PKR 2024 yang telah ditangguhkan sebelum ini, dijadual akan diadakan selepas musim Monsun Timur Laut (MTL) berakhir bagi menghormati mangsa bencana di seluruh negara.

"Kongres ini akan tetap diadakan di Johor, cuma tarikhnya selepas MTL, sebab kita faham ketika ini ramai yang terkesan akibat banjir yang tidak begitu baik. Ini keputusan kepimpinan parti. Kita sasarkan ia diadakan menjelang suku kedua tahun depan," katanya.

Pada 30 Nov, Fahmi berkata PKR memutuskan untuk menangguhkan Kongres Nasional 2024 yang dijadualkan pada 15 Dis, ekoran banjir di beberapa negeri.

Selain itu beliau berkata PKR juga akan mengadakan Kongres Khas di Shah Alam, Selangor esok, bagi meminda perlembagaan parti.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619