AGENDA

Warga emas rugi hampir RM1.6 juta, terjerat pelaburan tidak wujud

14 Dis 2024, 10:00 AM
Warga emas rugi hampir RM1.6 juta, terjerat pelaburan tidak wujud

JOHOR BAHRU, 14 DIS: Seorang warga emas kerugian RM1,590,800 apabila menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tidak wujud secara dalam talian.

Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata lelaki berusia 69 tahun itu mendakwa telah terlihat iklan pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan lumayan pada Oktober lepas.

Beliau berkata mangsa yang tertarik dengan iklan itu telah menekan pautan yang diberikan bagi mendapatkan maklumat lanjut.

"Mangsa telah ditawarkan keuntungan hingga 40 peratus daripada jumlah pelaburan yang dibuat dalam masa 10 minit.

“Percaya dengan keuntungan yang dijanjikan, antara November hingga awal Disember lepas mangsa telah membuat pembayaran berjumlah RM1.63 juta ke beberapa akaun bank diarahkan suspek.

“Mangsa juga telah mengikut arahan suspek dengan memuat turun aplikasi dan kemudian mendaftar akaun dalam aplikasi itu bagi memantau pelaburannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata selepas bayaran dibuat, mangsa melihat status pelaburannya melalui aplikasi itu telah mencatat keuntungan, mangsa yang mahu mengeluarkan keuntungan yang diperoleh hanya diberikan wang sebanyak RM44,200 sahaja.

Mangsa katanya, percaya dirinya telah ditipu setelah suspek gagal dihubungi dan akses ke aplikasi sebelum ini telah disekat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

"Orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan menarik," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619