AGENDA

Lebih 10,000 metrik tan stok ikan disediakan sepanjang MTL

11 Dis 2024, 8:44 AM
Lebih 10,000 metrik tan stok ikan disediakan sepanjang MTL

TUMPAT, 11 DIS: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyediakan 10,150 metrik tan stok penimbal yang boleh digunakan pada bila-bila masa sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKIM Rashima Baharuddin berkata stok ikan pasti terjejas kerana nelayan tidak ke laut ketika musim tengkujuh yang bermula Oktober hingga Februari tahun hadapan.

"LKIM menjalankan kerjasama dengan persatuan nelayan, lima syarikat swasta dan selebihnya stok ikan sejuk beku Q-Fish dengan jumlah keseluruhan 10,150 metrik tan stok penimbal.

"Malah, stok ikan sejuk beku Q-Fish turut diagihkan di pusat penempatan sementara (PPS) ketika banjir gelombang pertama baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Skuad Ihsan Mada dan Penyampaian Bantuan Banjir Kepada Nelayan Tumpat di LKIM Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rashima berkata pada musim MTL aktiviti penangkapan ikan dikurangkan, namun bekalan stok ikan masih mencukupi dan tidak terjejas.

"Seramai 829 nelayan di Kelantan, Terengganu dan Pahang terjejas akibat banjir dengan nilai anggaran kerosakan RM594,032.

"Daripada jumlah itu, Kelantan merekodkan jumlah paling tinggi iaitu 633 termasuk 291 di jajahan Tumpat. Namun, kita masih dalam siasatan untuk mendapatkan data tepat berkaitan jumlah kerosakan sebenar yang dihadapi nelayan," katanya.

Beliau berkata walaupun nelayan tidak dapat turun ke laut ketika MTL, namun kerajaan memberikan elaun RM300 sebulan sepanjang musim berkenaan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata 53 usahawan dan 16 kakitangan LKIM terjejas akibat banjir termasuk masing-masing tujuh kakitangan dari Kelantan dan Terengganu serta dua kakitangan dari Kedah, manakala tiga pejabat LKIM turut terkesan kerana dinaiki air.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619