KUALA LUMPUR, 11 DIS: Seramai 24,734 pesakit dirujuk ke hospital swasta setakat 30 November lalu berikutan pelaksanaan Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP) pada Julai, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata jumlah itu melibatkan 1,027 pesakit nefrologi, kardiologi (7,899), kardiotorasik (344) dan radiologi (15,464) dari 40 hospital Kementerian Kesihatan (KKM) ke 91 hospital swasta seluruh negara.
"Dimulakan pada 18 Julai 2024, sejumlah RM144 juta diperuntukkan untuk inisiatif ini dan berdasarkan tinjauan awal ia dapat mengurangkan 75 peratus masa menunggu pesakit untuk pembedahan Arterio-Venous Fistula (AVF) iaitu daripada 16 minggu kepada empat minggu, prosedur MRI (Pengimejan Resonans Magnetik) dan Ultrasound (20 minggu kepada 16 minggu) dan CT scan (imbasan Tomografi Berkomputer) (14 minggu kepada 12 minggu).
[caption id="attachment_673992" align="alignleft" width="500"] Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Foto BERNAMA[/caption]
"Justeru kita berharap dapat terus meningkatkan kerjasama awam-swasta ini bagi membolehkan lebih ramai rakyat mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang cepat dan berkesan untuk rawatan diperlukan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew yang mohon penjelasan sama ada kerajaan bercadang untuk membeli perkhidmatan daripada hospital swasta terutama di bandar dan kawasan yang perkhidmatan pakar tidak tersedia di hospital awam.
Dr Dzulkefly berkata penyumberluaran melalui HSOP bertujuan mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kesihatan dengan mekanisme pembayaran ditetapkan ialah berdasarkan konsep bayaran berpakej merangkumi prosedur, konsultasi, ubatan, rawatan susulan, dan penginapan pesakit.
Melalui program HSOP ini, beliau berkata KKM juga dapat mempengaruhi harga perkhidmatan swasta selari dengan konsep penjagaan kesihatan berasaskan nilai.
Menjawab soalan tambahan daripada Robert sama ada kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan skim insurans kesihatan nasional seperti dicadangkan pelbagai pihak, Dr Dzukefly berkata perkara itu memerlukan penelitian.
- BERNAMA