AGENDA

Mara ambil tindakan tegas, adil buru peminjam culas bayar hutang

10 Dis 2024, 1:14 PM
Mara ambil tindakan tegas, adil buru peminjam culas bayar hutang

SEREMBAN, 10 DIS: Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengambil sikap tegas dan adil dalam memastikan peminjam sama ada pinjaman pendidikan atau perniagaan melunaskan hutang mereka dengan institusi itu.

Pengerusi Mara Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata peminjam perlu bertanggungjawab supaya setiap sen duit rakyat itu dipulangkan terutama kerana kontrak yang ditandatangani adalah bersifat pinjaman.

"Ia berbeza dengan sedekah, ini adalah kontrak pinjaman. Mara mengambil pendekatan berunding kepada sesiapa sahaja yang bermasalah dalam melangsaikan hutang mereka.

"Setiap peminjam perlu membayar balik pinjaman perniagaan atau pendidikan mereka mengikut jadual. Jika ada masalah, Mara akan minta mereka datang berunding supaya penjadualan dan penstrukturan bayaran dapat dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Penyerahan Tren SCS Class 92 Projek Penyelenggaraan, Pembaikan dan Operasi serta Perjanjian Kolaborasi Antara M Rail Technics (Railtec) dengan Universiti Kuala Lumpur di Depoh EMU Keretapi Tanah Melayu Berhad di sini hari ini.

Asyraf Wajdi mengulas laporan media mengenai tindakan pegawai Mara menyerbu sebuah rumah dipercayai milik pelakon terkenal di Kota Damansara, Petaling Jaya hari ini susulan kegagalannya membayar pinjaman berjumlah RM1 juta.

Beliau berkata tindakan mahkamah dan perundangan adalah penyelesaian terakhir yang perlu diambil bagi memastikan Mara mendapat semula wang rakyat itu untuk dimanfaatkan kepada peminjam lain.

"Ia prosedur biasa, peminjam yang culas, tidak mengira siapa... Mara tidak pilih bulu bahkan saya sendiri banyak menerima rayuan. Prinsip saya mudah, rayuan perlu mengikut proses ditetapkan," katanya.

Asyraf Wajdi berkata masalah timbul apabila terdapat segelintir pihak bersikap tidak bertanggungjawab kepada amanah dan komitmen pembayaran balik pinjaman dengan menghilangkan diri.

"Kita terpaksa mengambil tindakan undang-undang, ia berbeza, peminjam yang jelas tidak dapat bayar balik kerana pelbagai faktor dengan peminjam yang disebut procrastinated iaitu sengaja tidak mahu bayar. Kadang-kadang mereka ini letakkan pembayaran pinjaman Mara ini least priority berbanding komitmen lain.

"Saya memegang amanah, ini wang rakyat, saya tiada kuasa melupuskan hutang... jangan pula sengaja tidak mahu bayar, memperagakan kemewahan... ini tidak adil bagi semua pihak," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619