AGENDA

Langkah tepat perkasa industri aeroangkasa, permudah cipta peluang kerja gaji tinggi

7 Dis 2024, 7:49 AM
Langkah tepat perkasa industri aeroangkasa, permudah cipta peluang kerja gaji tinggi

SEPANG, 7 DIS: Inisiatif Selangor memperkasa pembangunan industri aeroangkasa bakal mempermudah agenda penciptaan peluang kerja berpendapatan tinggi kepada graduan.

Pengerusi University College of Aviation Malaysia (UniCAM) berkata langkah itu juga membantu institusi pengajian tinggi merangka perancangan bagi mencipta bakat yang dinamik untuk masa depan, selaras keperluan terkini industri.

“Sebenarnya Selangor merupakan negeri yang sangat positif tentang pembangunan industri aeroangkasa yang bertumbuh pesat.

“Usaha Selangor sangat bagus. Saya memang teruja. Kita akan bantu Selangor dengan mengeluarkan bakat dan graduan berkualiti bagi mengisi keperluan industri,” kata Prof. Dr Kapten Ab Manan Mansor selepas Majlis Konvokesyen ke-15 UniCAM di sini, hari ini.

Menurut Ab Manan pemerkasaan sektor itu seterusnya berpotensi menjadikan Selangor sebagai hab dan lapangan terbang unggul di Asean.

“Kalau kita boleh jadikan KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) sebagai hab lapangan terbang Asean serta banyakkan lagi perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), lebih banyak pesawat akan ke Kuala Lumpur untuk dibaiki,” katanya.

Aeroangkasa merupakan antara sektor tumpuan dalam Dasar Speed Selangor yang diumum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Belanjawan Selangor 2025.

Ia dijangka mampu menawarkan pendapatan tinggi kepada graduan selain sedang berkembang pesat di seluruh dunia. Sektor lain, termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, elektrik dan elektronik serta perkhidmatan makanan.

Selangor turut merangka Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor 2020-2030, iaitu strategi 10 tahun bagi merealisasi pembangunan industri aeroangkasa dan memacu hab perindustrian aeroangkasa.

Pembangunan Taman Aero Selangor (SAP) yang terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) akan turut dilaksanakan bagi menjadikan Selangor sebagai hab aeroangkasa global khususnya di rantau Asia Tenggara.

Terdahulu, seramai 260 graduan UniCAM menerima diploma, ijazah, doktor falsafah dan sijil masing-masing sempena majlis konvokesyen itu yang disempurnakan Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Jeneral (B) Tan Sri Azizan Arifin.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619