AGENDA

Harga beras import dari India berjaya diturunkan hasil rundingan bersama - PM

7 Dis 2024, 6:16 AM
Harga beras import dari India berjaya diturunkan hasil rundingan bersama - PM

BUTTERWORTH, 7 DIS: Harga beras import dari India berjaya diturunkan sedikit hasil rundingan bersama kerajaan India, semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara berkenaan pada Ogos lepas.

Anwar berkata kerajaan Persekutuan komited dalam meringankan beban rakyat khususnya dalam memastikan barangan keperluan asas ditawarkan pada harga yang rendah.

"Mereka (India) bersetuju menjual beras dengan harga lebih murah. Kita berharap langkah ini dapat meringankan beban masyarakat," kata beliau dalam ucapan semasa Majlis Peluncuran Jualan Termurah MADANI di Kampung Masjid Timah di sini hari ini.

Anwar berkata penganjuran program jualan murah mampu menjadi persaingan yang sihat sekali gus memberi tekanan kepada harga pasaran supaya dapat diturunkan.

Perdana Menteri berkata Jualan Termurah MADANI yang berlangsung sehari itu menawarkan 1,000 ekor ayam dan 200 kampit beras secara percuma kepada pengunjung.

Selain itu, beliau berkata pengunjung juga boleh membeli ikan segar yang harganya dijamin lebih murah daripada pasaran kerana ia diambil terus daripada kapal nelayan.

"Ikan segar boleh didapati dengan harga murah jika diperoleh secara langsung daripada nelayan tanpa orang tengah, sebab itu kita galakkan para nelayan untuk menggunakan aplikasi berkaitan supaya orang ramai boleh beli secara langsung daripada mereka sekali gus mewujudkan persaingan yang sihat dalam pasaran," kata beliau.

Anwar turut meluangkan masa kira-kira 30 minit pada program itu sambil menyantuni peniaga dan pengunjung yang hadir.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619