ad
BUDAYA

Kampung Hujan dan Jelaga

7 Dis 2024, 12:30 AM
Kampung Hujan dan Jelaga

Enam puluh satu, ya, agak dewasa

enam puluh tujuh, makin tua, lebih berhak bijaksana

menurut mitos strata usia

suatu kampung di hulu daerah di ceruk tanah.

Sesudah seorang anak jati terjegil mata

melihat degup jantung bandar raya

seperti tilikan para pertapa dari kota sebelumnya

satu, dua atau tiga dasawarsa terlalu muda

perlu dikatup tempurung lebih lama

malahan ketua-ketua adat maunya

sedia terlentang di siring pusara

barulah jalur api dan air loji dilepaskan di sempadan sebelah

lalu dibiar bertatih, untung sabut kalau tiba

setakat sajak ini marak, ia masih seperti dongeng purbakala.

Begitulah, jelata di sini amat setia

sabar penuh pantang larang di kerangka dada

menghormati sekalian pentaasub yang haloba terima upah

mengkhabarkan berita dengan skrip ulangan manis belaka

yang dikarang sekawanan bapak-bapak di tampuk kuasa.

Di usang beranda

dikibar juga bendera yang cantik terjaga sekian masa

daripada terkena hujan dan jelaga

dengan syukur doa.

J.r Jel

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.