AGENDA

Banjir: Kerajaan hargai sumbangan swasta, korporat

4 Dis 2024, 7:21 AM
Banjir: Kerajaan hargai sumbangan swasta, korporat

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan penghargaan kepada sektor swasta dan korporat atas sumbangan mereka dalam membantu meringankan beban mangsa banjir di beberapa negeri ketika ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan berkenaan di samping dilakukan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa dan jentera kerajaan itu menunjukkan kekuatan luar biasa rakyat untuk bersama-sama membantu menyelesaikan masalah dihadapi.

“Kerajaan menerima baik keprihatinan sektor korporat dalam membantu mangsa banjir. Setakat Oktober, GLC (syarikat berkaitan kerajaan) seperti PNB (Permodalan Nasional Berhad), Petronas, Yayasan Hasanah dan Pharmaniaga telah menyalurkan bantuan bernilai lebih RM10 juta.

“Insya-Allah hari ini juga, saya akan menerima sumbangan bantuan banjir daripada syarikat swasta terkemuka dengan jumlah terkumpul lebih RM35 juta, jadi di Dewan yang mulia ini, bagi pihak Dewan (Negara) saya ucapkan penghargaan kepada semua,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara di sini hari ini.

Selasa lepas, Perdana Menteri dalam ucapannya pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, menggesa sektor swasta untuk turut sama menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir, sama ada dari segi sumbangan dana atau menghantar jentera bantuan ke kawasan terjejas.

“Kita syukur apabila kita buat seruan kepada sektor korporat ini untuk turut membantu. Selama ini memang ada Khazanah, bank-bank selain GLC PNB, Petronas, Yayasan Hasanah dan Pharmaniaga, (tapi) ini sebaik kita umum hasrat, dalam dua hari (berjaya) dapat RM35 juta tanpa apa-apa kempen tambahan.

“Inilah pentingnya kalau kita urus tatakelola dengan baik, tidak punggah kekayaan untuk diri sendiri, peribadi dan untuk kayakan keluarga,” kata Perdana Menteri.

Jumlah mangsa di negeri-negeri terjejas banjir pagi ini merekodkan penurunan kepada 65,899 orang berbanding 67,453 orang malam tadi.

Kelantan, Pahang dan Johor merekodkan sedikit peningkatan dari segi jumlah mangsa banjir manakala tiga negeri iaitu Terengganu, Perak dan Kedah berkurangan sementara Melaka kekal.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619