AGENDA

AI perlu diguna lebih meluas dalam pembangunan bandar raya - Fadillah

4 Dis 2024, 5:01 AM
AI perlu diguna lebih meluas dalam pembangunan bandar raya - Fadillah

PUTRAJAYA, 4 DIS: Teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu digunakan dengan lebih meluas dalam pengurusan bandar raya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata teknologi itu membolehkan komputer dan mesin melaksanakan tugasan yang dapat membantu pihak berkuasa tempatan menguruskan pelbagai aspek perbandaran.

Beliau berkata elemen perbandaran menjana pelbagai jenis data seperti trafik, kualiti alam sekitar, cuaca dan sebagainya.

"Melalui pengumpulan data yang berstruktur dan bersepadu, ia boleh menghasilkan pelbagai jenis analisis untuk membantu pihak pengurusan membuat keputusan yang tepat.

"Data-data ini juga dapat digunakan untuk membuat ramalan keadaan bandar sebagai amaran awal terhadap kemungkinan berlakunya kesan negatif terhadap sesuatu pembangunan," katanya dalam majlis pelancaran Putrajaya Urban Observatory (PUO), di sini hari ini.

Fadillah berkata pembangunan yang pesat sedikit sebanyak memberi pelbagai kesan sama ada kepada alam sekitar atau kesesakan jalan raya.

Namun, beliau berkata dengan wujudnya data raya yang bersepadu, kesan itu dapat dihindari melalui simulasi dan juga trend menggunakan data terkumpul setiap tahun.

"Saya percaya Al dan Big Data (data raya) akan memberi kesan yang positif kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata teknologi itu dapat meningkatkan kecekapan dan produktiviti dalam membantu pentadbir bandar membuat keputusan tepat dan cepat berdasarkan analisis data yang komprehensif demi kesejahteraan masyarakat.

Fadillah berkata pihak kerajaan dan swasta perlu menjalinkan kerjasama dalam memastikan pengurusan serta pembangunan bandar pintar dapat memberi impak kepada rakyat dari pelbagai aspek terutama penjagaan alam sekitar di kawasan perbandaran dan meningkatkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui.

PUO merupakan platform digital data raya bagi perkongsian data khusus untuk membolehkan pengumpulan dan analisis terhadap data-data perbandaran yang dibangunkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj).

PUO mempunyai lebih 200 lapisan data berasaskan pemetaan geospatial mampu membuat geoanalitik kepelbagaian data untuk membantu PPj dalam membuat keputusan dan penyelesaian perbandaran yang cepat, tepat dan interaktif terhadap sesuatu pembangunan.

PUO dilancarkan sempena Digital Putrajaya Exhibition dan Conference (DIPEC 2024) yang berlangsung dua hari bermula hari ini, dengan tema AI and Data Driven Future City.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619