AGENDA

PM zahir penghargaan kepada penjawat awam, swasta dan NGO bantu mangsa banjir

3 Dis 2024, 6:30 AM
PM zahir penghargaan kepada penjawat awam, swasta dan NGO bantu mangsa banjir

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada jentera kerajaan termasuk 80,000 penjawat awam yang turun membantu mangsa banjir di seluruh negara.

Beliau berkata kerjasama padu antara seluruh jentera Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri antaranya Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan, merupakan satu petanda yang sangat positif dalam menghadapi malapetaka.

Malah, beliau turut memuji penglibatan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLICS), syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO), termasuk puluhan ribu sukarelawan yang telah turun membantu.

“Sementara kita hadapi masalah, kita melihat semangat kesatuan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum, pelbagai daerah dan negeri itu sungguh luar biasa.

“Saya ingin merakamkan penghargaan yang setinggi tingginya kepada mereka,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar juga sedang mengetuai pasukan Skuad Insan MADANI, bagi membantu proses pembersihan selepas situasi banjir kembali reda.

Perdana Menteri berkata penyelarasan banjir oleh Majlis Keselamatan Negara (NADMA) pada kali ini yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, juga sangat memuaskan.

“Saya juga menghargai kerana persiapannya berbulan-bulan sebelum itu. Mesyuarat di Persekutuan, kerajaan negeri dan wakil-wakil daerah dan ini menyebabkan langkah-langkah diambil seperti yang saya saksikan sendiri di Terengganu dan daripada rakan-rakan lain saksikan di Kelantan sangat memuaskan,” kata beliau.

Setakat pagi ini, jumlah mangsa banjir di lapan negeri terjejas menurun kepada 94,636 orang berbanding 99,823 orang malam tadi, manakala angka kematian akibat banjir yang telah dilaporkan kekal pada tujuh orang.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619