AGENDA

Polis Ipoh sedia balai bergerak mudahkan mangsa bah buat aduan

2 Dis 2024, 3:08 PM
Polis Ipoh sedia balai bergerak mudahkan mangsa bah buat aduan

IPOH, 2 DIS: Balai polis bergerak ditempatkan di Arena Kepayang Putra, Fair Park, di sini bermula hari ini bertujuan memudahkan penduduk membuat laporan berkaitan banjir tanpa perlu hadir ke balai polis.

Pemangku Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat berkata kemudahan itu membolehkan kira-kira 600 penduduk terjejas membuat laporan berkaitan kerugian atau masalah lain yang timbul akibat bencana itu.

“Kita akan tempatkan balai polis bergerak bermula hari ini sehingga selesai (masalah banjir).

“Kita juga akan minta sebuah Unit Kereta Peronda (MPV) ke sini bagi tujuan menguar-uar kepada penduduk berhubung kemudahan disediakan itu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan Arena Kepayang Putra di sini hari ini.

Semalam, ratusan penduduk terjejas teruk akibat banjir yang berpunca daripada hujan berterusan mengakibatkan limpahan air Sungai Kinta mengalir ke kawasan perumahan itu, menyebabkan hampir kesemua rumah dimasuki air hingga lebih satu meter.

Susulan kejadian itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dilaporkan berkata punca banjir berkenaan akan diteliti dan langkah penyelesaian akan diambil bagi memastikan kejadian disifatkan terburuk pernah berlaku sejak 30 tahun itu tidak berulang.

Selain itu, Zulkafli berkata anggota polis bahagian tugas am Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Unit Simpanan Persekutuan (FRU) serta Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta turut akan ditempatkan di kawasan perumahan terbabit esok, bagi membantu melancarkan proses pembersihan.

“Kita juga minta supaya pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) turut serta dalam proses pembersihan rumah penduduk terutama membabitkan hal sampah sarap yang banyak terdapat di kawasan ini,” katanya.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619