AGENDA

Lelaki bakar kediaman sendiri sebelum merebak ke empat rumah lain

1 Dis 2024, 8:00 AM
Lelaki bakar kediaman sendiri sebelum merebak ke empat rumah lain

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Polis menahan seorang lelaki disyaki menyebabkan kebakaran lima buah rumah termasuk rumahnya sendiri di Rancangan Rumah Murah Kuang, Sungai Buloh, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata lelaki berusia 34 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu pada 7.06 malam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki terbabit bertindak membakar rumahnya sendiri sebelum kebakaran itu merebak ke empat rumah bersebelahan.

“Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan oleh mana-mana pihak dan polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hafiz berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan suspek direman sehingga 4 Dis ini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Azammuddin Mohd Razib pada talian 016-5661597.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata tiga daripada rumah yang terlibat hampir musnah sepenuhnya manakala dua rumah lagi hanya terjejas lima peratus.

“Sebaik menerima panggilan kecemasan, seramai 13 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang dan Sungai Buloh telah dikerahkan ke lokasi kejadian dan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 12.26 tengah malam tadi,” katanya.

Beliau berkata seorang anggota BBP Batu Arang cedera semasa operasi dan telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

“Anggota tersebut kini dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di hospital berkenaan,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619