AGENDA

Menteri: Lebih 3,000 penuntut IPTA terjejas banjir, KPT salur bantuan

29 Nov 2024, 3:00 PM
Menteri: Lebih 3,000 penuntut IPTA terjejas banjir, KPT salur bantuan

PUTRAJAYA, 29 NOV: Seramai 3,029 penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) terjejas akibat banjir setakat ini dengan 481 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam kampus manakala 42 lagi dipindahkan ke PPS luar.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata penuntut yang terkesan khususnya di Pantai Timur melibatkan Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaysia Kelantan dan politeknik.

"Saya telah arahkan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zaini Ujang untuk berjumpa sukarelawan institusi pendidikan tinggi (IPT) agar siap siaga (hadapi banjir)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penutup Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.

Zambry berkata bantuan KPT akan diberikan kepada penuntut terjejas termasuk bakul makanan, pengangkutan, hotline serta kerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi memastikan keselamatan mangsa.

Nadma hari ini dilaporkan telah mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana Pusat (PKOB) bagi menyelaras dan memantau operasi menyelamat dan pengurusan mangsa banjir di lapangan memandangkan jumlah mangsa meningkat secara mendadak di Kelantan.

Menurut Nadma, ketika ini Kelantan dan Terengganu berhadapan situasi banjir buruk dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan hujan sangat lebat berterusan (bahaya) hingga esok berkemungkinan boleh menyebabkan banjir lebih besar.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir di semua peringkat dipertingkatkan ke tahap tertinggi memandangkan bencana itu dijangka lebih teruk berbanding 2014.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619