AGENDA

Calon SPM terjejas banjir boleh duduki mana-mana pusat peperiksaan - Fadhlina

29 Nov 2024, 1:09 PM
Calon SPM terjejas banjir boleh duduki mana-mana pusat peperiksaan - Fadhlina

KOTA BHARU, 29 NOV: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sekolah mereka terjejas akibat banjir boleh menduduki mana-mana pusat peperiksaan yang ditetapkan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata peperiksaan tetap berjalan seperti biasa termasuk di negeri terjejas bencana itu bagi mengelakkan keciciran dalam kalangan calon SPM.

"Kementerian saya telah mempersiapkan pusat-pusat peperiksaan SPM supaya mereka mempunyai keupayaan menerima calon luar dari daerah mereka dalam situasi kecemasan akibat bencana banjir.

“Kalau sesebuah sekolah itu terjejas, mereka boleh mengambil peperiksaan di mana-mana pusat peperiksaan yang lain," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Kebangsaan Demit di sini hari ini.

Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan bersedia daripada pelbagai aspek dan telah mengambil langkah drastik memastikan semua calon menduduki peperiksaan SPM sekiranya sekolah mereka terjejas.

Fadhlina berkata kementeriannya juga telah mengaturkan sokongan psikososial di peringkat sekolah bagi membantu calon SPM yang mungkin mengalami trauma akibat bencana banjir.

Beliau berkata tumpuan penuh akan diberikan kepada pemantau cuaca dan kebajikan calon SPM serta keadaan luar jangka bagi memastikan tiada yang cicir daripada menduduki peperiksaan itu.

“Kita akan pastikan mereka tetap akan hadir walau apapun ujian dan langkah-langkah itu sedang kita uruskan,” katanya.

Diminta mengulas isu pelajar Malaysia yang menetap di Golok, Thailand dan bersekolah di Rantau Panjang, Fadhlina berkata bermula 1 Dis ini, perkara itu tidak lagi timbul kerana pihaknya telah mencari langkah penyelesaian.

“Kita telah mengambil tindakan untuk menempatkan kira-kira 100 pelajar di asrama dan kedua, memastikan mereka memiliki pas sah supaya tidak lagi merentas laluan yang tidak diwartakan.

“Kita juga beri peluang kepada ibu bapa untuk memilih sama ada tinggal di asrama atau tinggal bersama saudara terdekat dalam sesi libat urus bersama mereka,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan hampir 500 pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram untuk menyeberangi Sungai Golok setiap hari untuk ke sekolah di Malaysia.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619