AGENDA

Banjir: Suruhanjaya Tenaga nasihat utamakan keselamatan libatkan elektrik, gas

29 Nov 2024, 9:53 AM
Banjir: Suruhanjaya Tenaga nasihat utamakan keselamatan libatkan elektrik, gas

PUTRAJAYA, 29 NOV: Suruhanjaya Tenaga (ST) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada serta mengutamakan keselamatan dalam penggunaan elektrik dan gas semasa musim banjir yang melanda negara ketika ini.

ST dalam kenyataan hari ini memaklumkan banjir boleh mengakibatkan pelbagai risiko antaranya tiang elektrik tumbang, talian elektrik terputus dan kerosakan kelengkapan elektrik dan gas.

"Orang ramai turut dinasihatkan menyimpan nombor telefon pejabat kecemasan seperti nombor balai polis, bomba, hospital dan syarikat utiliti berdekatan serta memastikan nombor tersebut mudah diakses semasa kecemasan," katanya.

ST turut berkongsi beberapa langkah pengawasan yang boleh diambil bagi memastikan keselamatan elektrik dan gas terutamanya sebelum, semasa dan selepas banjir.

Sekiranya diarah berpindah sebelum banjir berlaku, menurut kenyataan itu pastikan perkara berikut dilaksanakan antaranya menyimpan kelengkapan elektrik di tempat tinggi dan selamat daripada ditenggelami air serta matikan suis bekalan utama di papan agihan elektrik.

"Selain itu, matikan pepasangan elektrik yang disambung secara berasingan daripada suis utama seperti solar fotovoltaik (PV) atau pagar elektrik dan tutup injap silinder gas atau gas berpaip," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, menurut kenyataan itu orang ramai juga perlu mengelak daripada melalui kawasan yang mempunyai talian atau pepasangan elektrik seperti pencawang dan bilik suis elektrik yang ditenggelami air serta mengelak daripada memegang tiang atau apa-apa struktur yang menyalurkan elektrik.

Suruhanjaya itu turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengalih tiang elektrik yang tumbang atau talian elektrik putus sebaliknya segera melaporkan kepada pihak utiliti elektrik.

Menurut ST bagi memastikan keselamatan penggunaan elektrik dan gas selepas banjir suis utama di papan agihan elektrik dan injap saluran gas hendaklah dimatikan sebelum kerja pembersihan dimulakan.

"Sebelum menghidupkan suis utama pastikan kelengkapan elektrik dalam keadaan baik dan kering selain sentiasa berwaspada apabila menjalankan aktiviti pembersihan banjir berdekatan dengan talian, struktur pepasangan elektrik serta saluran gas berpaip.

"Elak menggunakan kelengkapan elektrik dan gas yang diragui keselamatannya. Sekiranya meragui keselamatan sistem elektrik dan gas berpaip berkenaan, dapatkan perkhidmatan kontraktor elektrik atau gas yang berdaftar dengan ST," menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh menghubungi ST bagi pertanyaan lanjut melalui talian 03-8870 8800 atau e-mel ke eaduan@st.gov.my atau melayari laman sesawang www.st.gov.my.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619