AGENDA

Penduduk Kota Bharu bersengkang mata pantau paras Sungai Kelantan

29 Nov 2024, 4:34 AM
Penduduk Kota Bharu bersengkang mata pantau paras Sungai Kelantan

KOTA BHARU, 29 NOV: Bimbang air sungai melimpah dan menyebabkan pusat bandar Kota Bharu lumpuh, penduduk di sini sanggup bersengkang mata memantau paras air Sungai Kelantan di Tambatan D'Raja di sini.

Mereka berkumpul di satu lokasi tarikan pelancong yang menghadap ke Sungai Kelantan sejak beberapa hari lepas sambil merakam video dan membuat hantaran di laman media sosial masing-masing.

Nasrol Rosli, 25, berkata sudah tiga malam dia berada di kawasan berkenaan bagi memantau paras air sungai dan berkemungkinan terus berbuat demikian setiap malam sehingga cuaca kembali seperti biasa.

“Sudah beberapa hari hujan menyebabkan banyak kawasan dilanda banjir. Saya dan beberapa rakan datang ke sini setiap malam bagi membuat pemantauan hingga pagi serta akan memberi makluman kepada pihak berkuasa jika keadaan semakin buruk.

“Rumah saya terletak di Kampung Cina tidak dinaiki air, namun saya cuba untuk berada di sini setiap hari bagi mengetahui paras air di sungai ini,” katanya kepada Bernama di sini.

Mahriz Afandi, 36, berkata meskipun stesen Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang memantau paras air di Tambatan D’raja, dia tetap berada di situ kerana ingin melihat sendiri situasi banjir.

“Kawasan rumah saya di Pasir Tumbuh sudah dinaiki air tetapi rumah saya masih selamat. Saya akan terus berada di sini kerana tidak bekerja pada Jumaat dan Sabtu,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama pagi ini mendapati hujan masih berterusan dan orang ramai tetap berkunjung ke Tambatan D'Raja walaupun banjir sudah mencapai ketinggian kira-kira 0.5 meter.

Selain itu, angin kencang turut tidak menghalang orang ramai datang sendiri untuk melihat situasi terkini di sini.

Menurut portal Jabatan Pengaliran dan Saliran setakat 8 pagi ini, paras air di Sungai Kelantan mencapai paras bahaya di Tambatan D’Raja iaitu setinggi 5.58 meter.

Pada Rabu lepas, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya hingga hari ini, di seluruh Kelantan dan Terengganu serta daerah Kuantan dan Jerantut di Pahang.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619