SHAH ALAM, 28 NOV: Beberapa Kawasan di Klang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak petang tadi, maklum KDEB Waste Management.
Syarikat pengurusan sisa pepejal negeri di Facebook memaklumkan, penduduk sekitar kawasan Meru dan Kapar sedang bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Untuk makluman, beberapa kawasan di Klang pada ketika ini telah dilanda bencana banjir akibat hujan lebat yang turun sekitar petang tadi.
"Difahamkan juga bahawa penduduk sedang bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya keadaan banjir bertambah buruk," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, KDEB Waste Management juga dalam keadaan siap siaga hadapi situasi dan mendoakan agar semuanya Kembali pulih.
"Pihak berkuasa serta Pejabat Daerah sedang giat memantau perkembangan terkini dan memastikan maklumat penting disampaikan kepada semua pihak berkepentingan," katanya.
Sementara itu, Unit Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, lokasi terjejas banjir kilat setakat malam ini ialah Taman Daya Meru (Klang), Pekan Meru (Klang) dan Taman Bukit Hijau (Kuala Selangor).
Berdasarkan info di laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, paras air sungai di stesen Pekan Meru (Klang) melepasi paras bahaya dengan bacaan bacaan 4.66 meter(m) berbanding paras normal 2.8m, setakat jam 10 malam.
Petang tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat di seluruh Selangor hingga 9 malam.