SHAH ALAM, 27 NOV: Tiga anak gitaris kumpulan Spider akan dibantu selepas bapa mereka, Allahyarham Hanafi Hamdan meninggal dunia Jumaat lalu.
Setiausaha Politik Dato' Menteri Besar berkata pihaknya akan menghubungi Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat untuk menguruskan bantuan terutama pendidikan kepada anak Allahyarham yang masih belajar.
"Menyampaikan salam Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan sumbangan kepada keluarga.
"Saya akan hubungi ADN Rawang YB Chua Wei Kiat untuk membantu uruskan biaya pendidikan tiga anak mereka yang masih belajar," kata Saifuddin Shafi Muhammad menerusi Facebooknya hari ini.
Allahyarham Hanafi meninggal dunia akibat jangkitan kuman paru-paru di Wad Kecemasan Hospital Sungai Buloh.
Sebelum itu Saifuddin menziarahi balu arwah, Nor Rasidah Said di kediaman keluarga berkenaan di Saujana Rawang.
"Isteri arwah menceritakan detik akhir sebelum pemergian suami yang lebih dikenali Napie serta pengalaman menjaga arwah yang diserang angin ahmar sejak Jun lalu.
"Semoga Allahyarham Hanafi Hamdan ditempatkan di kalangan orang yang soleh," katanya.
Selain itu Saifuddin yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali turut mengunjungi bekas penyampai radio Maskiran Jakiran atau lebih dikenali Kieranto Marcello di Hospital Kuala Lumpur.
Kunjungan mewakili pejabat Dato' Menteri Besar Selangor itu adalah bertanya khabar susulan Maskiran kini dalam fasa rawatan akibat barah dan menunjukkan tanda pemulihan positif.
[caption id="attachment_675242" align="aligncenter" width="1197"] Setiausaha Politik Dato' Menteri Besar Saifuddin Shafi Muhammad (dua, kanan) mengunjungi bekas penyampai radio Maskiran Jakiran di Hospital Kuala Lumpur pada 27 November 2024. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad[/caption]
"Sebagai anak jati Selangor, kami seluruh warga negeri ini mendoakan agar Kieran sentiasa tabah dan dipermudah urusan serta kembali sembuh seperti sediakala.
"Kami turut rancak berborak tentang perjalanan hidup sebagai juruhebah radio dan minat beliau dalam bola sepak terutama pasukan Selangor FC," katanya yang turut disertai selebriti, Adi Fashla.