SHAH ALAM, 26 NOV: Dasar Speed Selangor yang bakal menawarkan ribuan peluang pekerjaan berkualiti membuka ruang kepada mahasiswa mempersiapkan diri dengan kemahiran terkini seiring permintaan industri.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Pemasaran), Ilyana Natasha Isham, 21, berkata mahasiswa berpeluang menggilap bakat dan potensi diri masing-masing sekali gus meningkatkan tahap kebolehpasaran dalam alam pekerjaan kelak.
“Di universiti saya belajar bidang pemasaran, kami turut diajar mengenai kepentingan AI (kecerdasan buatan) berkaitan bidang kami yang sangat berkembang pesat kini.
“Lebih-lebih lagi dengan adanya Speed Selangor, sekarang kita tahu di luar sana bakal tersedia peluang pekerjaan berkaitan sudah pasti kita akan usaha gali ilmu sebanyak mungkin untuk pastikan kita ada tempat nanti,” katanya kepada Selangorkini.
Sementara itu pelajar Diploma Teknologi Bunyi dan Pencahayaan, Kolej Komuniti Kuala Langat, Irfan Danish,18, berkata beliau lega apabila kursus pilihannya dijangka bakal menawarkan peluang pekerjaan luas khususnya selepas pelaksanaan Speed Selangor.
“Di sini kami turut belajar tentang bidang elektrik dan elektronik yang termasuk dalam bidang tumpuan Speed Selangor. Alhamdulillah saya tak salah pilih kursus.
“Sangat-sangat lega kerana kursus ini baru ditawarkan jadi ada sedikit risau mengenai masa depan di alam pekerjaan. Kini tidak risau lagi tapi kena persiapkan diri dengan segala kemahiran berkaitan yang diperlukan,” katanya.
Dasar Speed Selangor yang diperkenal bagi menarik kehadiran pelabur dijangka menawarkan ribuan peluang pekerjaan berkualiti kepada graduan universiti.
Setiausaha Akhbar Dato’ Menteri Besar Jay Jay Denis berkata dasar berkenaan sejajar dengan hasrat Kerajaan Selangor merealisasi 100,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun.
Menurutnya Dasar Speed Selangor hanya membabitkan industri tumpuan iaitu kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, aeroangkasa, elektrik dan elektronik serta perkhidmatan makanan.
Semua sektor terbabit dipilih berikutan mampu menawarkan pendapatan tinggi kepada graduan selain sedang berkembang pesat di seluruh dunia.
Pada pembentangan Belanjawan Selangor 2025, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memperkenalkan Dasar Speed Selangor bagi memendekkan tempoh kelulusan Kebenaran Merancang bagi kawasan industri terancang dari 3.5 bulan kepada 14 hari.
Menurutnya, dasar berkenaan sejajar dengan agenda Kerajaan Negeri untuk memudahcara perniagaan selain memberi tumpuan kepada industri baharu untuk bertapak di Selangor.