AGENDA

Menteri: Kemasukan pelajar ke IPTA berdasarkan merit, tiada diskriminasi

24 Nov 2024, 3:00 PM
Menteri: Kemasukan pelajar ke IPTA berdasarkan merit, tiada diskriminasi

IPOH, 24 NOV: Kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) adalah berdasarkan merit, terutama melibatkan kursus yang mendapat permintaan tinggi, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata kegagalan mendapat tempat di universiti awam tidak sepatutnya menjadi isu perkauman ataupun diskriminasi terhadap mana-mana golongan.

"Kita tidak ada diskriminasi dari segi kemasukan pelajar-pelajar (ke IPTA). Itu asasnya, sekiranya pelajar yang berkenaan memperoleh semua A dalam (mata) pelajarannya, mereka akan diberikan tempat.

"Perkara yang sering dibahaskan ialah mereka memerlukan pilihan pertama, biasanya melibatkan kursus kritikal, iaitu perubatan, farmasi dan pergigian," kata Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) pada sidang media selepas merasmikan penutupan Konvensyen BN Negeri Perak di sini hari ini.

Beliau berkata ketiga-tiga kursus itu adalah antara jurusan yang dimohon oleh ramai pelajar, sedangkan penempatan bagi bidang berkenaan agak terhad.

"Ada yang minta supaya mereka diberikan kuota, bilangan tersendiri. Bagi kita, kemasukan dalam bidang-bidang (kritikal) seperti ini adalah berdasarkan kepada merit mereka. Tiada alasan bahawa ia diberi kepada kaum (tertentu) dan sebagainya," katanya.

Terdahulu, Pengerusi MIC Perak Tan Sri M. Ramasamy ketika berucap pada konvensyen hari ini berkata antara isu yang banyak diterima pihaknya ialah tidak ramai pelajar India yang cemerlang dapat memasuki IPTA selain masalah sama turut berlaku bagi lepasan matrikulasi yang perlu ditingkatkan lagi kuota.

Sementara itu, Zambry berkata isu yang dibangkitkan oleh Ramasamy itu bukan sahaja melibatkan masyarakat India kerana perkara sama turut berlaku kepada kaum lain.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619