AGENDA

Penjawat awam diseru tingkat mutu kerja, jangan culas, cuai

24 Nov 2024, 11:30 AM
Penjawat awam diseru tingkat mutu kerja, jangan culas, cuai

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyeru warga perkhidmatan awam supaya meningkatkan mutu kerja, komitmen dan dedikasi selaras pengenalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Beliau berkata era baharu perkhidmatan awam ditelusuri dan diperteguh SSPA yang memberi tumpuan kepada kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam.

Katanya SSPA turut bertujuan mencetus lonjakan motivasi dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

“Dengan sistem gaji progresif di bawah SSPA, produktiviti mesti ditingkatkan. Tiada ruang untuk penjawat awam yang malas, culas dan cuai dan tiada lagi alasan untuk berada di takuk yang lama, tanpa inovasi, perubahan dan pembaharuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di sini hari ini.

Mengimbas kembali tempoh 100 hari pertama sebagai KSN, Shamsul Azri berkata langkah-langkah penting telah dilaksanakan untuk meletakkan asas kukuh dalam reformasi perkhidmatan awam.

“Pendekatan Associated (saling berkaitan) dan Integrated (bersepadu) yang menekankan kerjasama keseluruhan whole-of-government (keseluruhan kerajaan) dan whole-of-nation (keseluruhan negara) telah menyatukan usaha semua pihak, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI. Pendekatan ini telah diterapkan secara berkesan sepanjang konvensyen ini,” katanya.

Shamsul Azri berkata pendekatan Associated menekankan penyertaan menyeluruh semua pihak (whole-of-nation) manakala pendekatan Integrated menekankan penyelarasan bersepadu (whole-of-government) antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Gabungan ini memastikan setiap suara didengari dan dijadikan asas untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan.

“Simbolik kepada pendekatan ini ialah pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur: Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Malaysia, yang melambangkan komitmen kukuh untuk melaksanakan reformasi secara menyeluruh dari peringkat tertinggi hingga ke akar umbi pentadbiran negeri,” katanya.

Shamsul Azri dilantik secara rasmi sebagai KSN pada 12 Ogos lepas menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang bersara wajib.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619