AGENDA

Gedung E-Sport rancak pembangunan e-sukan, cungkil bakat baharu

24 Nov 2024, 7:02 AM
Gedung E-Sport rancak pembangunan e-sukan, cungkil bakat baharu
Gedung E-Sport rancak pembangunan e-sukan, cungkil bakat baharu

SHAH ALAM, 24 NOV: Pengubahsuaian Hotel Carlton, Seksyen 13 di sini untuk dijadikan Gedung E-Sports Selangor merancakkan lagi pembangunan industri itu sekali gus mencungkil bakat baharu.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata hasrat Selangor itu juga sejajar agenda kerajaan persekutuan dalam mengukuhkan ekosistem pembangunan e-sukan negara.

“Saya rasa ini harus kita sambut dengan baik, memandangkan Selangor jadi tuan rumah kepada kemenangan yang mengharumkan nama negara sekarang selepas Selangor Red Giants (SRG) menang.

“Jadi setimpallah, bila mana kita nampak SRG menang, Selangor terus sokong pembangunan e-sukan. Ini satu pengiktirafan terutama kepada pencapaian dikecapi oleh pasukan Malaysia itu yang bertapak di Selangor.

“Ini sejajar hasrat Kerajaan Persekutuan sekarang di mana kita pun baru saja bersedia luluskan peruntukan sebanyak RM8 juta untuk pembinaan arena e-sukan,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut Adam Adli, selain ekosistem fizikal, elemen sains sukan turut perlu dititikberatkan dalam pengukuhan dan pengembangan arena e-sukan di negara ini.

“Kita dari semasa ke semasa perlu pastikan banyakkan penganjuran untuk pencungkilan bakat. Selain itu, elemen sains sukan dalam e-sukan nampak makin diberi perhatian.

“Contohnya (penyediaan) pakar psikologi, strategi dan teknikal. Semua ini yang harus kita terapkan untuk lihat perkembangan e-sukan yang lebih tinggi dan maju,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kategori e-sukan diperbanyak bagi menarik lebih ramai penyertaan terutama dalam Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.

“Sebenarnya e-sukan ada dipertandingkan dalam SUKMA Sarawak. Jadi, ini semua tentang masa terutama di Selangor, tempat yang diberi perhatian dalam pengembangan e-sukan.

“Jadi memang kena pastikan dalam SUKMA akan datang e-sukan boleh dipertandingkan dan mungkin boleh perbanyakkan kategori supaya lebih banyak penyertaan,” katanya.

[caption id="attachment_673686" align="alignnone" width="854"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 15 November 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2025 mengumumkan Kerajaan Negeri akan mengubah suai Hotel Carlton di Seksyen 13 untuk dijadikan Gedung E-Sports Selangor dengan peruntukan RM1 juta.

Inisiatif berkenaan memberi peluang kepada negeri menjadi tuan rumah kepada pertandingan e-sukan di peringkat Asean dan antarabangsa.

Pada Julai lalu, SRG melakar sejarah baharu dalam arena e-sukan negara selepas muncul juara pada kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 di Arab Saudi.

SRG mencatat kemenangan 4-3 ke atas pasukan Filipina Falcons AP Bren Sport, sekali gus memahat nama sebagai juara baharu dan membawa pulang hadiah RM4.6 juta.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619