AGENDA

Waktu bekerja empat hari setengah tertakluk justifikasi kerajaan negeri

24 Nov 2024, 1:45 AM
Waktu bekerja empat hari setengah tertakluk justifikasi kerajaan negeri

KOTA TINGGI, 24 NOV: Cadangan Johor untuk memperkenalkan waktu bekerja empat hari setengah seminggu adalah tertakluk kepada justifikasi kerajaan negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan negeri pastinya mempunyai alasan dan kajian yang mendasari keputusan untuk meneliti cadangan waktu bekerja tersebut.

Bagaimanapun, beliau enggan memberikan ulasan lanjut kerana tidak memiliki perincian lengkap mengenai perancangan kerajaan negeri itu.

“Saya tidak mempunyai maklumat terperinci tentang cadangan ini. Namun, saya yakin bahawa kerajaan negeri mempunyai rasional yang kukuh sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya pada pemberita selepas Program Makan Malam Khidmat Komuniti Parlimen Pengerang, dekat sini, semalam.

Ahli Parlimen Pengerang itu turut berkongsi pandangan peribadi mengenai perubahan lanskap waktu bekerja akibat kepesatan pembangunan teknologi yang semakin canggih.

“Pandangan saya secara umum, tidak ramai yang bekerja hanya lapan jam sehari lagi (kerana) kebanyakan orang kini bekerja lebih daripada lapan jam, disebabkan adanya sistem teknologi seperti telefon pintar,” katanya.

“Waktu bekerja sebenarnya tertakluk kepada profesion tertentu kerana terdapat profesion yang memerlukan masa bekerja lebih daripada lapan hingga 10 jam, malah ada kalanya kerja tersebut boleh dilakukan dari rumah.

“Kita perlu bersikap lebih terbuka kerana menjelang tahun 2025, banyak perubahan akan berlaku, khususnya dalam aspek teknologi yang bergerak dengan begitu pantas,” katanya.

Khamis lepas, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan kerajaan negeri sedang meneliti cadangan perubahan waktu bekerja sektor awam di negeri ini kepada hanya empat hari setengah susulan pelaksanaan cuti hujung minggu yang diubah semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan 2025.

Beliau berkata bagi tujuan itu, kerajaan negeri kini sedang giat melakukan penambahbaikan bagi mempertingkatkan produktiviti dan menambah baik sistem penyampaian perkhidmatannya termasuk penyeragaman waktu operasi perkhidmatan kaunter di semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pada 2022, 61 organisasi mengambil bahagian dalam percubaan empat hari seminggu bekerja di United Kingdom yang menunjukkan bahawa organisasi yang melaksanakan waktu kerja lebih singkat meraih manfaat yang ketara, termasuk peningkatan produktiviti dan kesejahteraan pekerja.

Menurut Institut Pengurusan Bertauliah (CMI), data menunjukkan bahawa mereka yang mengambil bahagian dalam percubaan selama enam bulan itu menunjukkan pengurangan 71 peratus dalam kelesuan melampau (burnout) pekerja dan pengurangan 65 peratus dalam cuti sakit, membawa kepada 89 peratus organisasi yang mengambil bahagian meneruskan pengurangan jam selepas tempoh percubaan dengan beberapa organisasi melaporkan pertumbuhan hasil sehingga 34 peratus.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619