ad
AGENSI

Dasar Speed Selangor tawar ribuan peluang kerja berkualiti buat graduan

23 Nov 2024, 8:00 AM
Dasar Speed Selangor tawar ribuan peluang kerja berkualiti buat graduan
Dasar Speed Selangor tawar ribuan peluang kerja berkualiti buat graduan

SHAH ALAM, 23 NOV: Dasar Speed Selangor yang diperkenal bagi menarik kehadiran pelabur dijangka menawarkan ribuan peluang pekerjaan berkualiti kepada graduan universiti.

Setiausaha Akhbar Dato’ Menteri Besar berkata dasar berkenaan sejajar dengan hasrat Kerajaan Selangor merealisasi 100,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun.

[caption id="attachment_674492" align="aligncenter" width="812"] Setiausaha Akhbar Dato’ Menteri Besar Jay Jay Denis ketika diwawancara menerusi program Hai Selangor terbitan SelangorTV pada 20 November 2024[/caption]

“Sebelum ini Dato’ Seri Amirudin Shari mengetengahkan tekad untuk tawarkan 100,000 pekerjaan berkualiti tinggi. Jadi kita perlu tarik pelabur dalam industri yang mampu tawarkan pendapatan tinggi.

“Kita tidak boleh lagi fokus kepada pekerjaan yang hanya tawar pendapatan RM4,000 ke bawah kerana ia tidak cukup untuk hidup selesa. Kita perlu fikir solusi jangka masa panjang,” kata Jay Jay Denis ketika diwawancara menerusi program Hai Selangor terbitan SelangorTV, baru-baru ini.

Jay Jay menambah, Dasar Speed Selangor hanya membabitkan industri tumpuan iaitu kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, aeroangkasa, elektrik dan elektronik serta perkhidmatan makanan.

Menurutnya, semua sektor terbabit dipilih berikutan mampu menawarkan pendapatan tinggi kepada graduan selain sedang berkembang pesat di seluruh dunia.

“Dengan adanya dasar ini, pelabur akan dapat memulakan perniagaan dengan cepat dan graduan juga tidak perlu lagi mengisi masa terluang dengan pekerjaan gig sementara mendapat pekerjaan tetap,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan Selangor 2025, Amirudin memperkenalkan Dasar Speed Selangor bagi memendekkan tempoh kelulusan Kebenaran Merancang bagi kawasan industri terancang dari 3.5 bulan kepada 14 hari.

Menurutnya, dasar berkenaan sejajar dengan agenda Kerajaan Negeri untuk memudahcara perniagaan selain memberi tumpuan kepada industri baharu untuk bertapak di Selangor.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.