ad
AGENDA

Remaja lelaki ditemukan lemas selepas tergelincir dalam tali air

22 Nov 2024, 1:45 PM
Remaja lelaki ditemukan lemas selepas tergelincir dalam tali air

KOTA BHARU, 22 NOV: Pelajar lelaki Tingkatan Dua sebuah sekolah di sini ditemukan lemas selepas tergelincir ke dalam tali air ketika mandi bersama dua lagi rakannya di Kampung Padang Enggang, hari ini.

Pelajar itu ditemukan di dasar tali air pada kedalaman kira-kira lapan meter.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim Ramli Abdullah berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.15 petang dan tiba di lokasi pencarian enam minit kemudian.

Beliau berkata bomba mengerahkan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa dan Kota Darulnaim, serta empat anggota Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) bagi mengesan mangsa.

“Operasi melibatkan pasukan PPDA yang memulakan pencarian di permukaan air menemukan mangsa di dasar tali air pada 6.30 petang tadi,” katanya di lokasi kejadian.

Ramli berkata beliau difahamkan mangsa tergelincir kerana kawasan tebing tali air dipenuhi lumpur ekoran hujan, manakala mangsa tidak pandai berenang dan kejadian berlaku ketika hujan renyai.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.