AGENDA

Nasihat pinjaman PTPTN, kemasukan ke IPTA di program 2TM

22 Nov 2024, 12:05 PM
Nasihat pinjaman PTPTN, kemasukan ke IPTA di program 2TM

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Konsultasi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) antara perkhidmatan ditawarkan di reruai Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) di sini.

Pegawai Perhubungan Awam KPT Dayang Norakma Shaharuddin berkata mereka juga menyediakan konsultasi dan tawaran terus ke Politeknik dan Kolej Komuniti, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), serta Pengkreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) pada program itu.

“Kita juga mengadakan konsultasi penajaan pendidikan di bawah KPM termasuk biasiswa pengajian untuk pelajar menyambung pengajian dan biasiswa untuk orang kurang upaya (OKU).

“Selain itu, kami juga mengalu-alukan mereka yang berdepan masalah menebus Baucar Buku Pelajar IPT Fasa Kedua yang berakhir pada 31 Dis ini untuk datang mendapatkan penjelasan dan penerangan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dayang Norakma berkata mereka turut mengambil peluang untuk mempromosikan Festival Idea Putrajaya yang akan berlangsung tiga hari bermula 27 Nov ini yang antara lain menawarkan peluang pekerjaan melalui Karnival Kerjaya MADANI.

Seorang pengunjung Shazlina Ahmad, 32, berkata tujuan utama beliau hadir ke 2TM adalah untuk mendapatkan konsultasi berkaitan pinjaman PTPTN, selain mahu menjengah jualan yang berlangsung pada program itu.

“Saya mahu tahu bagaimana hendak membuat bayaran semula secara berstruktur, untuk dipertimbangkan jika dapat disesuaikan dengan kemampuan kewangan semasa. Selain itu, saya mahu bertanya tentang SSPN untuk anak, supaya urusan belajar mereka lebih mudah. Selepas ini, saya sudah boleh merancang, sebagai persediaan mereka,” katanya.

Sementara itu, Mohd Danial Malik, 19, dari Kampung Baru di sini berkata beliau datang ke reruai KPT selepas membuat pertukaran topi keledar untuk mendapatkan khidmat nasihat bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.

Beliau berkata penerangan yang diberikan pegawai bertugas amat jelas dan memberi lebih pemahaman mengenai beberapa pilihan untuk menentukan hala tuju sama ada menyambung pengajian ke Politeknik dan IPTA, berdasarkan kelayakan serta minat.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619