AGENDA

Enam lelaki tempatan ditahan insiden kejar dari Muar ke Kuala Lumpur

21 Nov 2024, 10:18 AM
Enam lelaki tempatan ditahan insiden kejar dari Muar ke Kuala Lumpur

JOHOR BAHRU, 21 NOV: Enam lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam insiden kejar sejauh 180 kilometer bermula dari Jalan Bakri hingga Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur ditahan hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata mereka berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun itu ditahan di kawasan Damansara dekat Kuala Lumpur kira-kira 7 pagi tadi.

“Dalam insiden tersebut, pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang melanggar lampu isyarat merah tidak mengendahkan arahan kereta peronda polis (MPV) untuk memberhentikan kenderaan.

“Dalam insiden kejar itu, kenderaan suspek keluar ke tol Jasin dengan merempuh palang tol sehingga suspek keluar di tol Sungai Besi. Setibanya di Jalan Chan Sow Lin, suspek merempuh dan melepasi penghadang jalan di Chan Sow Lin, Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Penyerahan tugas tersebut dilakukan daripada DCP Afandi Senin kepada Pemangku Timbalan Ketua Polis Johor ACP Nor Azizi Maarof.

Menurut Kumar pihaknya masih menyiasat berapa ramai yang berada dalam kenderaan tersebut termasuk motif mereka melarikan diri.

“Kita juga masih menyiasat sama ada semua suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah,” katanya.

Dalam pada itu, Kumar berkata 2,467 pegawai dan anggota diaturgerakkan dalam persediaan menghadapi banjir di negeri ini selain 357 aset merangkumi bot, pacuan empat roda dan lori lima tan.

Beliau berkata beberapa mesyuarat koordinasi bersama agensi penyelamat lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kesihatan Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan pelbagai agensi kerajaan yang lain turut diadakan.

“Mengenai kawasan ‘hotspot’ pula kita sudah ada pengalaman (banjir) di kawasan Kota Tinggi, Batu Pahat dan Pontian. Bagaimanapun kita sentiasa dalam keadaan bersedia untuk pergi ke mana-mana kawasan yang berlaku banjir,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619