EXCO

Speaker DNS arah ADN Taman Medan tarik balik kenyataan berhubung INSAN

20 Nov 2024, 12:00 PM
Speaker DNS arah ADN Taman Medan tarik balik kenyataan berhubung INSAN

SHAH ALAM, 20 NOV: Dewan Negeri Selangor (DNS) mengarahkan wakil rakyat Taman Medan Dr Afif Bahardin menarik semula kenyataan yang dikeluarkan berhubung pelaksanaan Skim Insurans Am Selangor (INSAN).

Speaker DNS Lau Weng San turut mengarahkan Afif yang membahas Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2025 menarik balik kenyataannya yang menyebut pegawai kerajaan dalam dewan selaku pembuat dasar korup.

"Beliau (Taman Medan) telah menyebut laporan audit INSAN yang sedang dibentang dalam siasatan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) sedangkan perkara itu masih dalam peringkat perbincangan.

"Proses itu belum selesai dan kita hanya terima laporan dan saksi sahaja...belum rumusan. Oleh itu, saya minta beliau menarik balik kenyataan tersebut dan jangan ulang.

"Malah, beliau ada mengatakan tidak tahu komisen daripada program itu pergi mana selain pegawai kerajaan yang sebahagiannya pembuat dasar dalam dewan ini korup. Ini juga kenyataan 'damaging' dan saya minta tarik balik," katanya di Bangunan Annex, Wisma Dewan Negeri Selangor hari ini.

Weng San memaklumkan penarikan itu mengikut Peraturan 75, Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri iaitu menyiarkan keterangan sebelum masanya.

Peraturan itu menjelaskan keterangan yang diambil di hadapan sesebuah jawatankuasa pilihan dan apa-apa dokumen yang dikeluarkan kepadanya tidak boleh disiarkan oleh sesiapa ahli jawatankuasa itu atau sesiapa juga sebelum penyata itu dibawa kepada dewan.

Pada masa sama, Weng San yang juga pengerusi Selcat meminta mana-mana wakil rakyat yang ingin membuat aduan berhubung perkara tersebut boleh mengusulkan kepada beliau.

"Kenyataan itu telah dikeluarkan daripada penyata rasmi (hansard) dewan supaya tidak mempengaruhi keputusan jawatankuasa tersebut.

"Namun, sekiranya ada ahli dewan nak buat aduan rasmi boleh usulkan secara bertulis kepada speaker. Perkara ini akan diputuskan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan," katanya.

Sebelum ini, Selcat yang dipengerusi Weng San bersidang bagi menilai program INSAN. Sesi pendengaran awam tersebut bagi merungkai persoalan Ahli Dewan Negeri berhubung tatakelola dan pelaksanaan program serta hala tujunya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619