ad
ADN

Gedung e-sukan Selangor cungkil bakat baharu, peluang anjur kejohanan dunia

19 Nov 2024, 10:04 AM
Gedung e-sukan Selangor cungkil bakat baharu, peluang anjur kejohanan dunia

SHAH ALAM, 19 NOV: Pengubahsuaian Hotel Carlton Seksyen 13 sebagai gedung e-sukan Selangor akan mengukuhkan pembangunan bidang tersebut selain mencungkil bakat anak muda.

Ahli Dewan Negeri Kota Damansara Muhammad Izuan Kasim berkata bidang e-sukan semakin berkembang di negara ini malah membuka peluang untuk Selangor menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa.

"Gedung e-sukan ini memudahkan anak-anak muda untuk berlatih. Justeru keputusan Kerajaan Negeri untuk mengubahsuai hotel kepada gedung e-sukan tepat pada masanya.

"Ini peluang kita untuk membangunkan e-sukan yang berkembang pesat bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2025 di Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pada Jumaat, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan Negeri 2025 memaklumkan dana RM1 juta diperuntuk untuk mengubah suai Hotel Carlton sebagai gedung e-sukan Selangor serta pembangunan industri tersebut.

Julai lalu, Selangor Red Giants (SRG) menamatkan kemarau tujuh tahun Malaysia untuk menjuarai aksi antarabangsa e-sukan selepas menumbangkan Filipina Falcons AP Bren Sport 4-3 kejohanan Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 Kemenangan itu menyaksikan SRG membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah RM4.6 juta.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor menyifatkan kemenangan SRG sebagai kejayaan luar biasa dan bersejarah.

Tengku Amir Shah yang merupakan pemilik SRG bertitah pasukan tersebut bukan sahaja mempamerkan keberanian, kegigihan dan keazaman semasa kejohanan tetapi sejak memulakan projek e-sukan pada 2023.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.