AGENDA

PM: Lawatan ke Brazil jana potensi eksport RM6.8 bilion

19 Nov 2024, 2:34 AM
PM: Lawatan ke Brazil jana potensi eksport RM6.8 bilion
PM: Lawatan ke Brazil jana potensi eksport RM6.8 bilion

RIO DE JANEIRO (Brazil), 19 NOV: Lawatan sulung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Brazil berjaya menghasilkan potensi eksport sebanyak RM6.8 bilion (US$1.57 bilion) bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata nilai potensi eksport itu adalah hasil daripada perbincangan dengan pemimpin korporat dan industri daripada 28 syarikat terkemuka dan persatuan perniagaan di Brazil.

“Ia melibatkan 58 pemimpin industri. Dalam mesyuarat meja bulat ini, kita berjaya menghasilkan potensi eksport RM6.8 bilion (US$1.57 bilion) bagi tempoh tiga hingga lima tahun yang akan datang,” kata Anwar dalam sidang media akhir beliau pada Isnin.

Menurut Anwar antara produk yang dikenal pasti adalah perkhidmatan minyak dan gas (O&G), semikonduktor, minyak sawit, komponen aeroangkasa serta produk makanan dan minuman.

Beliau berkata lawatan itu juga berjaya meneroka peluang kolaborasi perniagaan yang akan meningkatkan lagi hubungan perdagangan antara Malaysia dan Brazil.

[caption id="attachment_673862" align="aligncenter" width="779"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai Sidang Pleno pada Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro, Brazil pada 18 November 2024. Foto Facebook BERNAMA[/caption]

Syarikat Brazil yang terlibat termasuk syarikat terkemuka yang telah mengimport barangan dan perkhidmatan Malaysia bernilai RM1.16 bilion (US$267.1 juta) pada 2023.

Ia merangkumi industri minyak O&G, tenaga boleh baharu, aeroangkasa, peranti perubatan dan penjagaan kesihatan, semikonduktor, teknologi maklumat dan komunikasi, perlombongan, industri halal, dan minyak sayuran dan lemak masak.

Malaysia dan Brazil mempunyai hubungan kerjasama yang rapat dalam pelbagai bidang di peringkat dua hala dan pelbagai hala dalam isu-isu berkepentingan bersama.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Brazil bagi tempoh Januari hingga September 2024 menunjukkan peningkatan sebanyak 19.8 peratus kepada RM14.83 bilion (US$3.2 bilion) berbanding RM12.38 bilion (US$2.74 bilion) bagi tempoh sama pada 2023.

Tahun lepas, Brazil adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Amerika Latin, selepas Mexico.

Sebanyak RM8.64 bilion (US$2.73 bilion) pelaburan dari Brazil direkodkan merangkumi sektor pembuatan makanan, produk getah, peralatan pengangkutan dan hab pengedaran global.

Syarikat Malaysia seperti Petronas, Yinson dan Sapura turut melabur di Brazil dalam sektor tenaga serta O&G dengan jumlah pelaburan melebihi US$15 bilion.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619