AGENDA

Harimau Malaya seri 1-1 dengan India pada aksi antarabangsa di Hyderabad

19 Nov 2024, 12:20 AM
Harimau Malaya seri 1-1 dengan India pada aksi antarabangsa di Hyderabad
Harimau Malaya seri 1-1 dengan India pada aksi antarabangsa di Hyderabad

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Nasib tidak menyebelahi Malaysia selepas seri 1-1 menentang India pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Gachibowli, Hyderabad malam tadi.

Skuad Harimau Malaya yang terpalit kontroversi tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dilepaskan pulang menjelang pertembungan malam ini, tampil dengan persembahan positif apabila berjaya menyerap tekanan dan asakan awal pasukan tuan rumah sebelum terlebih dahulu berada di hadapan.

Kesilapan penjaga gol India Gurpreet Singh Sandhu gagal mengeluarkan bola hantaran jauh Muhammad Azam Azmi Murad di luar kotak penalti, menyaksikan penyerang naturalisasi Paulo Josue tenang melepaskan rembatan ke gawang yang tidak dikawal pada minit ke-19.

Kedudukan itu tidak bertahan lama apabila India kendalian Manolo Marquez menyamakan kedudukan selepas Rahul Bheke berjaya melepasi kawalan pertahanan negara untuk menanduk masuk sepakan penjuru Brandon Fernandes pada minit ke-38.

Kedua-dua pasukan mengekalkan intensiti yang sama memasuki separuh masa kedua dalam usaha menambah jaringan, menyaksikan Malaysia berjaya melakukan gerakan berbahaya, namun rembatan padu Daniel Ting dari sudut sukar berjaya ditepis keluar Gurpreet Singh.

Seminit kemudian, gawang negara cemas seketika apabila skuad The Blue Tigers melancarkan serangan balas pantas ke dalam kotak penalti, namun peluang itu gagal disudahkan dengan baik oleh Lallianzuala Chhangte apabila rembatannya melambung tinggi.

[caption id="attachment_673857" align="aligncenter" width="888"] Aksi pemain Malaysia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Gachibowli, Hyderabad menentang India pada 18 November 2024. Foto Facebook Football Association of Malaysia[/caption]

Pasukan negara sekali lagi terlepas peluang untuk kembali mendahului perlawanan selepas sepakan gunting pemain gantian Muhammad Safawi Rasid dalam kotak penalti tersasar pada minit ke-69.

Tuah ternyata bukan milik anak buah Vicente apabila tandukan penyerang gantian Fergus Tierney hanya menggegar tiang sebelum Gurpreet Singh bertindak cemerlang menyelamatkan rembatan susulan Muhammad Safawi, masing-masing pada masa tambahan separuh masa kedua.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia berjaya menyekat misi India untuk membalas dendam selepas tewas 2-4 pada aksi Pestabola Merdeka 2023 di sini.

Sebagai rekod, Vicente melakukan tujuh pertukaran dalam kesebelasan utamanya berbanding ketika menewaskan Laos 3-1 pada satu lagi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Bangkok, Khamis lalu.

Aksi menentang Laos dan India bulan ini menjadi medan Vicente mempersiapkan pasukan untuk menghadapi Kejohanan ASEAN 2024 yang dijadual bermula bulan depan.

Malaysia, juara 2010 yang diundi dalam Kumpulan A akan memulakan kempen menentang Kemboja di Phnom Penh pada 8 Disember diikuti Timor-Leste di sini (11 Disember) sebelum berdepan juara bertahan Thailand di Bangkok (14 Disember) dan melayani kunjungan Singapura di sini pada 20 Disember.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619