AGENDA

Pembinaan MRT3 bermula 2027 selepas proses peroleh tanah selesai

18 Nov 2024, 3:13 PM
Pembinaan MRT3 bermula 2027 selepas proses peroleh tanah selesai

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Pembinaan di tapak projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) hanya dijangka bermula pada 2027 iaitu setelah Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menyelesaikan proses pemerolehan tanah.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim berkata ketika ini proses berkenaan sedang berjalan dengan pemeriksaan awam akan dilaksanakan hingga 2 Dis ini.

Beliau berkata selepas daripada itu baru pihaknya boleh memuktamadkan laluan dan memulakan proses pemerolehan tanah yang dijangka mengambil masa 24 bulan iaitu hingga 2026.

“Kami (MRT Corp) berharap menjelang 2027, kerajaan akan mempunyai cukup kapasiti untuk meneruskan projek ini. Itu sasaran peribadi saya tetapi ia bergantung kepada keadaan ekonomi.

“Seperti yang kita tahu ekonomi semakin pulih, jadi beri masa beberapa tahun lagi dan saya rasa ia akan jadi landasan kukuh untuk kita memulakannya,” katanya pada sidang media sempena Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia 2024 (MCIEA 2024) di sini hari ini.

MCIEA tahun ini mengiktiraf lima kategori berprestij iaitu Anugerah Tokoh Terkemuka, Anugerah Jurubina Terbaik (Kontraktor G7), Anugerah Pencapaian Antarabangsa, Anugerah Projek Terbaik dan Anugerah Kontraktor Terbaik.

MRT Corp meraih Anugerah Projek Terbaik bagi Infrastruktur (Kategori Utama) untuk projek Transit Aliran Massa Lembah Klang: Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya.

MRT3, yang juga dikenali sebagai Laluan Lingkaran akan menjadi komponen terakhir bagi rangkaian MRT Lembah Klang, menghubungkan pelbagai stesen transit aliran massa dan aliran ringan (LRT) dalam kawasan ibu negara bagi membentuk rangkaian yang menyeluruh.

Laluan rel sejauh 51 kilometeri itu mampu menampung 25,000 penumpang sejam bagi setiap arah, dengan perjalanan penuh di MRT3 mengambil masa lebih kurang 73 minit atau di bawah satu jam 15 minit.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619