AGENDA

Polis Petaling Jaya terima dron beresolusi tinggi RM60,000

18 Nov 2024, 3:00 PM
Polis Petaling Jaya terima dron beresolusi tinggi RM60,000

PETALING JAYA, 18 NOV: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini menerima sebuah dron yang dilengkapi dengan keupayaan pengawasan beresolusi tinggi bernilai RM60,000 bagi mempertingkatkan kecekapan pencegahan jenayah sekali gus dapat mewujudkan persekitaran komuniti yang lebih selamat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Jaafar berkata kelengkapan itu juga dapat memudahkan akses pihak polis dalam menjalankan pengawasan di kawasan yang sukar dicapai.

"Dron ini dapat membantu polis menjalankan pelbagai tugasan harian seperti pengawasan komuniti, membolehkan kami melakukan peninjauan dari sudut yang tinggi dan dapat melepasi halangan-halangan tertentu.

"Dron ini juga dapat membantu dalam operasi lain seperti penyuraian trafik, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kerana alat ini turut dilengkapi dengan pengesan haba yang dapat membantu polis dalam mencari mangsa yang sesat di hutan," katanya pada sidang media selepas menerima dron berkenaan daripada Kumpulan QI, sebuah konglomerat multinasional yang terkenal pada Program Kerjasama Teknologi Untuk Keselamatan dan Kesejahteraan Warga Petaling Jaya di sini.

Turut hadir Pengarah Pembangunan Perniagaan QI Krishna Kumar.

Shahrulnizam berkata dalam usaha untuk memastikan kelengkapan itu dapat digunakan secara lebih berkesan, pihaknya juga telah menubuhkan sebuah pasukan yang telah dilatih khusus untuk mengendalikan dron.

"Kami akan mula terbangkan dron ini dari IPD Petaling Jaya dahulu untuk membuat tinjaun trafik di sekitar Lebuhraya Persekutuan dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, Krishna berkata polis Petaling Jaya ialah pihak pertama yang menerima dron dilengkapi teknologi canggih berkenaan.

"Kami telah bekerjasama dengan pasukan teknologi maklumat (IT) Bukit Aman dan mereka telah menggabungkan perisian berkeupayaan tinggi yang telah dimasukkan ke dalam dron ini.

"Ia dilengkapi dengan pengecaman wajah, sensor haba dan boleh mengesan kebakaran dari tingkat bawah hingga ke tingkat 36 bangunan dan ke atas. Ia juga mempunyai radius tiga batu (4.8 kilometer) dan jangka hayat selama 30 minit. Selain itu, pihak polis juga boleh mengesan nombor plat kenderaan dengan mudah," katanya.

Beliau berkata selain membantu polis dalam menjalankan tugasan harian, pemberian dron itu membantu dalam meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan kehidupan seharian komuniti di Petaling Jaya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619