AGENDA

Ditipu janji pulangan pelaburan tinggi, pengurus kilang rugi lebih RM940,000

18 Nov 2024, 3:28 AM
Ditipu janji pulangan pelaburan tinggi, pengurus kilang rugi lebih RM940,000

JOHOR BAHRU, 18 NOV: Seorang pengurus kilang mengalami kerugian RM943,250 selepas mendakwa terperdaya dengan pelaburan dalam talian, pada Mei lepas.

Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata wanita berusia 53 tahun itu telah dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp yang menawarkan pelaburan dalam bidang perhotelan dan menjanjikan kadar pulangan tinggi serta mudah dalam jangka masa singkat oleh individu tidak dikenali.

Beliau berkata tertarik dengan keuntungan dijanjikan, mangsa telah membuat pembayaran secara pindahan dalam talian ke beberapa akaun bank berbeza berjumlah RM943,250 untuk dilaburkan, pada September hingga Oktober lepas.

"Setelah bayaran dibuat, mangsa dimaklumkan bahawa pelaburannya telah mencatatkan keuntungan berjumlah RM600,000 namun dia dikehendaki membuat bayaran tambahan bagi membolehkan wang keuntungan itu dikeluarkan.

"Bagaimanapun, mangsa enggan membuat bayaran tambahan seperti diminta dan percaya dirinya telah ditipu sebelum membuat laporan polis pada Sabtu lepas dengan kerugian dialami berjumlah RM943,250," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pada masa sama beliau menasihati orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan dalam talian dengan pulangan tinggi pada masa singkat.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619