AGENDA

Malaysia, Brazil desak gencatan senjata, tubuh Palestin yang berdaulat

18 Nov 2024, 12:40 AM
Malaysia, Brazil desak gencatan senjata, tubuh Palestin yang berdaulat

RIO DE JANEIRO (Brazil), 18 NOV: Malaysia dan Brazil menekankan keperluan mendesak untuk melaksanakan gencatan senjata segera dan berkekalan terhadap konflik yang sedang berlaku di Gaza serta menuntut Israel agar memastikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Wilayah Palestin yang diduduki dapat disalurkan tanpa sebarang sekatan.

“Kedua-dua pemimpin juga sekali lagi menegaskan sokongan mereka terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, berdasarkan sempadan sebelum 1967, serta keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan dua hala antara Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar Sidang Kemuncak G20.

Anwar dan Lula turut menegaskan komitmen masing-masing untuk memerangi ketidaksetaraan, kelaparan dan kemiskinan serta berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, industri halal, keterjaminan makanan dan pertanian, sains, teknologi dan inovasi, semikonduktor serta alam sekitar dan perubahan iklim.

Mereka turut mengalu-alukan pelancaran “Global Alliance against Hunger and Poverty”. Presiden Lula menzahirkan penghargaan terhadap keputusan Malaysia untuk menyertai pakatan itu sebagai anggota pengasas.

Kedua-dua pemimpin turut mengulangi komitmen mereka terhadap usaha bersama-sama dalam membasmi kelaparan di seluruh dunia menjelang akhir dekad ini, selaras dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619