AGENDA

Ujian urin boleh kesan individu hisap vape ada bahan terlarang

17 Nov 2024, 10:28 AM
Ujian urin boleh kesan individu hisap vape ada bahan terlarang

BANDAR BAHARU, 17 NOV: Ujian urin bukan sekadar boleh mengesan dadah yang diambil secara konvensional malah dapat mengesan bahan terlarang yang terkandung dalam rokok elektronik (vape).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pengesanan di peringkat awal boleh dilakukan pegawai pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), khususnya selepas pelaksanaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 diluluskan Dewan Rakyat Ogos lepas.

Beliau berkata dadah yang menjadi ancaman, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah bukan lagi jenis konvensional sebaliknya jenis sintetik yang mempunyai pelbagai bentuk serta nama dan dianggap sangat dinamik.

"Kita ada keupayaan, pegawai pemulihan ada kepakaran tersebut (mengesan bahan). Kalau dulu proses ujian dan verifikasi (bahan terlarang) semua hanya oleh doktor, tak boleh orang lain.

"Tapi dalam akta penagih dadah yang kita pinda, tugas itu boleh dibuat oleh pegawai pemulihan ADDK namun kita tak ketepikan pegawai perubatan, di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) masih ada elemen peranan pegawai perubatan tapi ujian awal itu boleh dilakukan oleh pegawai pemulihan," katanya.

Saifuddin ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Kempen Antidadah di Sekolah Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan secara bersama oleh beliau dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir di sini hari ini.

Beliau berkata lagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga berhasrat mewujudkan makmal khusus bagi proses pengujian bahan terlarang.

"Melalui makmal itu nanti boleh kesan semua bahan terlarang tanpa syak ... tanpa ragu, kompetensi itu tinggi," katanya.

Sementara itu, mengenai kempen yang dilancarkan hari ini, ia bertujuan menyemarak dan memobilisasi semua warga sekolah termasuk pendidik, pekerja dan murid agar lebih cakna terhadap masalah penyalahgunaan dadah dan bahan serta menyegarkan kembali program dan aktiviti antidadah sedia ada di peringkat sekolah dan institusi pendidikan.

KDN dan Kementerian Pendidikan juga mewujudkan Skuad Junior yang berperanan sebagai pasukan sukarelawan dalam kalangan murid yang berfungsi menyebarkan kesedaran tentang bahaya dadah dan bahan kepada warga sekolah, khususnya dalam kalangan murid sekolah.

Sebanyak 26 sekolah termasuk sekolah rendah dan menengah di seluruh negara disasarkan sebagai projek perintis kepada pelaksanaan Skuad Junior ini bagi sesi persekolahan 2025.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619