ad
AGENDA

Juruteknik rugi hampir RM1 juta terperdaya pelaburan dalam talian

17 Nov 2024, 6:45 AM
Juruteknik rugi hampir RM1 juta terperdaya pelaburan dalam talian

JOHOR BAHRU, 17 NOV: Juruteknik syarikat cari gali rugi RM908,305 selepas terperdaya dengan pelaburan dalam talian, Ogos lalu.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata lelaki berusia 48 tahun itu menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada individu yang menawarkan pelaburan dengan keuntungan tinggi dalam tempoh satu jam, ketika dia berada di tempat kerja di Iraq.

Beliau berkata mangsa tertarik dengan keuntungan dijanjikan dan memuat turun aplikasi sebelum membuat pendaftaran.

"Mangsa juga mengikuti kelas secara dalam talian menerusi pautan diberikan yang menjelaskan berkaitan cara urus niaga dan keuntungan yang akan diperoleh.

"Seterusnya, mangsa membuat pembayaran secara dalam talian ke beberapa akaun bank berbeza seperti diarahkan hingga berjumlah RM908,305 ketika dia berada di Kota Tinggi dekat sini, pada pertengahan September lalu hingga bulan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata selepas bayaran dibuat, mangsa mendapati pelaburannya mencatatkan keuntungan RM8 juta dan berhasrat mengeluarkan wang keuntungan berkenaan.

"Bagaimanapun, mangsa diarahkan melakukan pembayaran RM100,000 sebagai wang deposit namun dia enggan dan percaya dirinya ditipu sebelum membuat laporan polis semalam dengan kerugian dialami berjumlah RM908,305,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pada masa sama menasihati orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan tawaran peaburan dalam talian dengan pulangan tinggi dalam masa singkat.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.