AGENDA

Jangka capai RM11.7 bilion resit perbelanjaan sempena Tahun Melawat Selangor

16 Nov 2024, 12:00 PM
Jangka capai RM11.7 bilion resit perbelanjaan sempena Tahun Melawat Selangor

SELAYANG, 16 NOV: Kehadiran pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Selangor (TMS2025) dijangka merekodkan resit perbelanjaan sehingga RM11.7 bilion.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu berdasarkan sasaran kemasukan kira-kira lapan juta pelancong dari dalam dan luar negara sepanjang tahun depan.

“Dengan pengisytiharan Gombak Hulu Langat (GHL) Geopark hari ini, ia bakal menyumbang kepada misi menarik minat pelancong ke negeri ini terutama sempena TMS2025.

“Selaras dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) menjadi negeri pintar, berdaya huni dan makmur, pentadbiran menyokong usaha ke arah projek mampan dan pelancongan berimpak tinggi,” katanya pada majlis pengisytiharan GHL Geopark sebagai geopark kebangsaan pertama negeri.

Terdahulu Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyempurnakan pengisytiharan berkenaan sempena Karnival Gua Damai hari ini.

Pengisytiharan itu sekali gus menjadikan kawasan seluas 112,955 hektar merentasi daerah Gombak dan Hulu Langat yang mengandungi tapak warisan geologi itu sebagai geopark ke tujuh negara.

Semalam ketika membentang Belanjawan Selangor 2025, Amirudin mengumumkan peruntukan sebanyak RM8 juta bagi melaksana program promosi dan acara pelancongan TMS2025 .

Perbelanjaan tersebut turut membabitkan kerja naik taraf lokasi tumpuan sekali gus mampu merangsang ekonomi pelancongan domestik khususnya anjung utara melibatkan Sabak Bernam hingga Kuala Selangor serta anjung selatan bagi daerah Sepang dan Kuala Langat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619