AGENDA

RM112 juta ambil tanah baharu bangun tapak pelupusan sanitari

15 Nov 2024, 2:13 PM
RM112 juta ambil tanah baharu bangun tapak pelupusan sanitari

SHAH ALAM, 15 NOV: Sejumlah RM112 juta diperuntuk bagi pengambilan 200 ekar tanah baharu untuk tapak pelupusan sanitari dan merawat 30 ekar tanah di Tapak Pelupusan Sanitari Tanjung Dua Belas (TPSTG12).

Dato' Menteri Besar berkata kerja tersebut perlu dibuat sebelum pembinaan tapak loji sisa kepada tenaga (WTE) Tanjung Dua Belas bermula bagi memastikan kestabilan tanah.

"TPSTG12 yang sedia ada juga sudah hampir mencapai kapasiti penuh menjelang akhir tahun ini," kata Dato' Seri Amirudin Shari membentangkan Belanjawan Selangor 2025.

Pada masa sama, Amirudin memaklumkan RM42 juta diperuntuk bagi pembangunan Pelan Tindakan Pengurusan Sisa dan Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu (ISWMC) dengan loji rawatan Sisa kepada Tenaga (WTE) di Jeram.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan WTE yang dibina di Jeram bakal menjadi loji pelupusan terbesar negara dan mampu memproses 3,000 tan sampah pepejal sehari.

Katanya, binaan atas tanah seluas 30 ekar yang dijangka beroperasi mulai 2026 juga membantu pemuliharaan alam sekitar selain merangsang peluang ekonomi lebih tinggi.

Sementara itu, Amirudin menjelaskan Selangor bersetuju menerima Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang akan membuka ruang kepada aktiviti sisa pengurusan sisa pepejal turut melibatkan Kerajaan Persekutuan.

"Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan (SPBT) dan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri terlibat dalam bidang ini seperti Kumpulan Darul Ehsan Berhad dan Worldwide Holdings Berhad (WHB) sedang bekerjasama bagi mencari keputusan optimum berkaitan usaha baharu ini.

"WHB dan anak-anak syarikat lain milik Kerajaan Negeri yang terlibat dalam rantaian pengurusan sisa di negeri ini akan terus bekerjasama dalam menyokong aspirasi Akta 672 bagi memastikan kepentingan rakyat terus terjamin," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619