SHAH ALAM, 15 NOV: Selangor memperuntuk RM6 juta untuk membina dan menaik taraf taman awam menjadi Taman Rakyat Madani di semua pihak berkuasa tempatan tahun depan, kata Dato' Menteri Besar.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri juga akan memohon geran padanan RM6 juta dari Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi tujuan tersebut.
"Selain daripada fasiliti asas serta kemudahan seperti wi-fi, taman-taman ini boleh ditambah baik dengan kemudahan sukan, pusat kitar semula, ruang perbincangan, tempat untuk buskers, kawasan penganjuran tayangan filem serta muzik.
"Malah, kawasan hijau yang lebih luas dan tempat-tempat rekreasi berkonsepkan alam sekitar akan diperkenalkan bagi meningkatkan daya tarikan dan keberkesanan taman awam sebagai pusat aktiviti masyarakat," katanya membentangkan Belanjawan Selangor 2025.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2025 memaklumkan kerajaan akan terus menggembleng usaha memastikan persekitaran projek perumahan rakyat lebih manusiawi termasuk menaiktaraf 48 Taman Rakyat Madani meliputi kawasan rekreasi di bandar dan pekan kecil.
Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan dana RM2 juta turut diperuntuk bagi pelaksanaan projek-projek selenggara kemudahan awam desa dan baik pulih jalan-jalan luar bandar.
"Kerajaan Negeri akan memberi keutamaan kepada projek intervensi untuk membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur usang dan daif khususnya balai raya, dewan orang ramai dan kemudahan awam lain di samping membantu dalam penyediaan pusat komuniti dan kemudahan awam yang berkualiti untuk manfaat warga desa pelbagai lapisan umur.
"Bagi meningkatkan keterhubungan bandar dengan luar bandar dan antara desa, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk meningkatkan liputan jalan berturap menambah lampu jalan solar dan memulakan projek rintis pembinaan panel solar bagi bekalan elektrik di desa," katanya.