SHAH ALAM, 15 NOV: Sejumlah RM500,000 diperuntuk bagi penyediaan Pelan Induk Net Zero Cities 2050 bertujuan mewujudkan bandar dan penempatan yang inklusif, selamat, berdaya huni dan mampan.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata peruntukan tahun depan itu sejajar dengan matlamat pembangunan mampan (SDG) ke-11 iaitu kemampanan bandar dan komuniti.
"Pentadbiran ini telah melaksanakan ikhtiar perbandaran hijau menerusi Kerangka Bandar Rendah Karbon (LCCF) yang digunapakai dalam perancangan dasar di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) .
"Pelaksanaan bandar rendah karbon ini akan dapat mengukur tahap pengeluaran karbon semasa dan mengenal pasti sasaran bagi setiap perbandaran serta membantu PBT menetapkan strategi pengurangan karbon dan seterusnya mengukur prestasi tindakan bagi setiap perbandaran," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025.
Dalam pada itu, Amirudin turut memaklumkan Kerajaan Negeri juga bakal melaksana dasar peralihan tenaga yang dikenali sebagai Agenda Ekonomi Hijau Selangor (SAGE) dengan dana RM500,000.
"SAGE bukan hanya dokumen yang mengandungi langkah untuk memenuhi sasaran sifar karbon, tetapi satu gabungan strategi dan inisiatif yang berupaya mengubah ekonomi dan kehidupan rakyat.
"Kerajaan Negeri juga berhasrat menjadi peneraju dalam sektor tenaga bersih melalui anak syarikat negeri Worldwide Holdings Berhad (WHB) yang telah diberikan amanah sebagai pelaksana projek-projek tenaga bersih di Selangor.
"WHB juga akan memberi tumpuan kepada pengendalian beberapa projek tenaga boleh baharu di peringkat huluan yang merangkumi projek solar dan hidro di sekitar Selangor," katanya.
Beliau turut memaklumkan Loji Janakuasa Pulau Indah (PIPP), projek pembangunan loji janakuasa Gabungan Turbin Gas Kitaran (CCGT) dijangka beroperasi pada suku pertama tahun depan.
"Projek dibangunkan PIPP yang berkeupayaan menjana 1,200megawatt (MW) tenaga di Pulau Indah akan menampung peningkatan permintaan tenaga sebanyak 45 peratus di Lembah Klang dan seterusnya menampung jumlah permintaan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia.
"Setakat ini, projek pembangunan PIPP telah membuka lebih daripada 2,500 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan membuka peluang bagi perkembangan syarikat tempatan serta pemangkin kemajuan di Pulau Indah setelah beroperasi kelak," katanya.