AGENDA

Elemen TVET diperkenal kepada murid tahun satu pada 2027

14 Nov 2024, 4:59 AM
Elemen TVET diperkenal kepada murid tahun satu pada 2027

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bermula dari tahun satu di sekolah rendah melalui Kurikulum Persekolahan 2027.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata murid sekolah rendah akan diperkenalkan dengan elemen TVET menerusi pembelajaran bersepadu yang menggabungkan pelbagai disiplin ilmu dalam bidang sains, teknologi, digital, seni visual, muzik dan pendidikan kesihatan.

"Seterusnya bagi murid di tahun lima dan tahun enam, mereka akan mempelajari pembelajaran asas disiplin ilmu TVET seperti teknologi, sains rumah tangga, kejuruteraan, pengaturcaraan dan pertanian.

“Pembelajaran dilaksanakan berasaskan projek yang membolehkan murid mengetahui, memahami dan meneroka aplikasi teknologi dan digital dalam pelbagai bidang," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) mengenai sama ada KPM berhasrat memperkenalkan laluan program TVET seawal usia tingkatan satu bagi memberi peluang kepada pelajar memilih bidang kemahiran yang mereka minati.

Wong berkata kandungan, kemahiran dan nilai daripada pelbagai bidang teknologi dan digital akan dikembangkan lagi kepada murid di peringkat menengah rendah iaitu tingkatan satu, dua dan tiga bagi mengenali potensi diri, seterusnya mendorong minat mereka dalam bidang TVET.

"KPM yakin, melalui inisiatif yang dilaksanakan mampu memberi pendedahan awal dan memberi peluang kepada murid memilih bidang TVET selepas tamat pendidikan menengah rendah iaitu tamat tingkatan tiga," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619