AGENDA

Malaysia-Singapura perkukuh kerjasama basmi jenayah rentas sempadan

14 Nov 2024, 12:00 AM
Malaysia-Singapura perkukuh kerjasama basmi jenayah rentas sempadan

SINGAPURA, 14 NOV: Malaysia dan Singapura akan terus memperkukuh kerjasama bagi membanteras jenayah rentas sempadan dengan menambah elemen jenayah siber selari dengan keperluan semasa.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata memorandum persefahaman diperbaharui itu akan ditandatangani dalam pertemuannya dengan Menteri Ehwal Dalam Negeri dan Undang-Undang Singapura K. Shanmugam pada Khamis.

“Kita telah ada memorandum kerjasama rentas sempadan dengan Singapura. Selain mengekalkan elemen sedia ada, kita tambah elemen jenayah siber.

“Di peringkat ASEAN kerugian akibat jenayah siber adalah sebanyak US$64 bilion, di peringkat global jauh lebih tinggi,” katanya kepada Bernama pada Majlis Santai Bersama Diaspora Malaysia di Singapura, di sini.

Beliau berkata kerjasama dalam bidang ini penting kerana jenayah siber tidak boleh ditangani secara sendiri terutamanya membabitkan tiga komponen iaitu pembangunan kapasiti, perkongsian perisikan dan operasi bersama.

Saifuddin Nasution berkata pertukaran dokumen memorandum persefahaman itu akan dilakukan pada Sesi Pemukiman Tahunan Pemimpin-Pemimpin yang akan dianjurkan oleh Malaysia pada 8 Disember nanti.

Beliau berkata lawatan ke republik ini juga adalah sebagai persediaan menjelang Sesi Pemukiman itu nanti yang akan dihadiri Perdana Menteri kedua-dua negara.

“Kita berharap perkara membabitkan isu di bawah portfolio Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu antara yang paling banyak dapat penyelesaiannya terutamanya untuk isu kesesakan di pintu masuk negara,” katanya.

Dalam lawatannya ke republik itu, beliau dijadual melawat pusat operasi Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619