AGENDA

Lawatan rasmi PM ke Mesir jana potensi eksport bernilai RM4.8 bilion

13 Nov 2024, 3:16 AM
Lawatan rasmi PM ke Mesir jana potensi eksport bernilai RM4.8 bilion

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mesir telah berjaya mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Mesir, sekali gus menjana potensi eksport bernilai RM4.8 billion (US$1.1 billion) untuk Malaysia.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata potensi eksport tersebut diraih antaranya menerusi Mesyuarat Meja Bulat yang dihadiri kira-kira 60 pemimpin industri dan perniagaan dari 47 syarikat serta persatuan perniagaan utama di Mesir bersama 40 wakil dari 20 syarikat Malaysia.

"Sepanjang sesi ini, perbincangan produktif antara syarikat-syarikat Malaysia dan Mesir telah menghasilkan potensi eksport bernilai RM4.8 bilion (USD1.1 bilion) terutama dalam sektor bernilai tinggi seperti automotif, kimia, oleokimia dan tenaga boleh baharu.

"Selain itu, syarikat-syarikat Mesir turut menunjukkan minat untuk meneroka peluang pelaburan di Malaysia terutamanya dalam sektor peranti perubatan dan farmaseutikal," kata MITI dalam satu kenyataan.

Lawatan rasmi tersebut berlangsung dari 10 hingga 12 November lepas.

Dalam pada itu, hasil mesyuarat dua hala antara Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dengan Menteri Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa Republik Arab Mesir, Hassan El Khatib, kedua-dua menteri telah bersetuju supaya Jawatankuasa Bersama Perdagangan dan Pelaburan (Joint Trade and Investment Committee - JTIC) Malaysia-Mesir diaktifkan semula.

Malaysia juga bersetuju menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat JTIC Ke-2 pada awal 2025 dengan penumpuan kolaborasi dalam sektor semikonduktor, tenaga boleh baharu, industri halal serta transformasi digital.

Selain itu, kedua-dua menteri turut bersetuju supaya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan General Authority for Investment & Free Zones (GAFI) menandatangani memorandum persefahaman bagi memperkukuhkan hubungan serta promosi pelaburan dua hala Malaysia-Mesir.

Sebagai langkah strategik memperkukuh sokongan kepada pengeksport Malaysia untuk meneroka potensi besar di pasaran Afrika Utara dan negara-negara Arab, pejabat perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Kaherah, Mesir telah dinaik taraf sepenuhnya pada Januari 2024 bagi meningkatkan perkhidmatan akses pasaran dan rundingan eksport, kata MITI.

Dalam usaha memacu pertumbuhan eksport Malaysia, Proton Holdings Bhd (Proton) mengambil langkah strategik untuk memasuki pasaran Mesir dengan pembukaan kilang pemasangan tempatan.

Aktiviti pemasangan telah bermula dengan penghantaran pertama kereta pemasangan tempatan (CKD) Proton pada September 2024.

"Jualan dijangka bermula pada Januari 2025 dengan sasaran sebanyak 16,000 unit antara 2024 hingga 2026," kata MITI.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Mesir bagi tempoh Januari hingga September 2024 menunjukkan peningkatan sebanyak 21.4 peratus kepada RM3.0 bilion (US$648.0 juta) berbanding RM2.4 bilion (US$545.5 juta) bagi tempoh sama pada 2023.

Tahun lepas, Mesir merupakan rakan dagang kelima terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Afrika.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata MITI yakin hubungan dua hala ini akan terus berkembang sekali gus memberikan impak positif kepada ekonomi dan pencapaian objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) menjelang 2030.

"MITI serta agensinya akan mengambil tindakan susulan bagi memastikan kesemua inisiatif yang dipersetujui akan dilaksanakan dengan kadar segera," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619