AGENDA

Polis tahan remaja umur 15 tahun seludup beras dipercayai dari Thailand

12 Nov 2024, 7:36 AM
Polis tahan remaja umur 15 tahun seludup beras dipercayai dari Thailand

KOTA BHARU, 12 NOV: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditahan polis bersama sebuah kereta Proton Persona yang dipandunya berikutan penemuan 475 kilogram beras dalam kenderaan itu dipercayai diseludup dari Thailand.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata remaja berkenaan ditahan di Simpang Tiga Kampung Dangar, Pasir Mas pada kira-kira 8 pagi semalam.

Beliau berkata remaja itu bertindak sebagai penghantar beras yang dianggarkan bernilai RM1,900 yang dibawa tanpa dokumen sah.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata PGA turut menahan tiga lelaki berusia 24 hingga 48 tahun yang terlibat dalam penyalahgunaan ketum selepas menyerbu sebuah premis di Kampung Pangkal Kala dekat Bunut Susu, Pasir Mas.

Beliau berkata dalam serbuan pada 11 malam itu, PGA telah merampas satu bungkusan mengandungi 800 gram daun ketum, 12 botol berisi air ketum dan dua botol ubat batuk serta tiga unit telefon bimbit.

“Anggaran nilai rampasan adalah RM4,972 dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, manakala suspek dan hasil rampasan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya," katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619