AGENDA

Jakim salur RM19 juta selenggara, naik taraf institusi pendidikan Islam

10 Nov 2024, 3:05 PM
Jakim salur RM19 juta selenggara, naik taraf institusi pendidikan Islam

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menyalurkan RM119 juta bagi peruntukan khas Selenggara dan Naik Taraf (SNT) kepada 1,553 Institusi Pendidikan Islam (IPI) berdaftar di seluruh negara setakat bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata peruntukan khas berjumlah RM120 juta dengan siling RM150 juta itu telah diperuntuk secara "one-off" oleh Kementerian Kewangan untuk Jakim tahun ini.

Beliau berkata bantuan berkenaan melibatkan sekolah pondok, sekolah tahfiz, sekolah agama serta Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh Malaysia.

“Jumlah tersebut adalah peruntukan secara one-off sebagai bantuan untuk disalurkan kepada IPI yang berdaftar dengan pihak berkepentingan di negeri seluruh Malaysia.

“Peruntukan khas berkenaan tidak diberikan secara automatik kepada IPI, sebaliknya perlu dimohon oleh semua IPI yang berdaftar melalui pihak berkepentingan negeri sebelum dikemukakan kepada JAKIM bagi pertimbangan dan kelulusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan satu akaun media sosial berkaitan jumlah sebenar peruntukan yang sepatutnya disalurkan oleh JAKIM kepada IPI iaitu sekolah pondok, sekolah tahfiz, sekolah agama serta KAFA di seluruh Malaysia untuk tahun ini.

Mohd Na’im berkata Jakim juga telah mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkuasa agama negeri bagi menjelaskan prosedur berkaitan penyaluran peruntukan khas berkenaan.

“Kategori IPI yang layak memohon bantuan adalah Institusi Pondok Swasta, Institusi Tahfiz Swasta, Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Agama Swasta, Sekolah Agama Negeri, Sekolah Menengah Agama Negeri dan Kelas KAFA di premis bukan kerajaan yang telah berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Peruntukan Khas Kerajaan Persekutuan Bantuan Selenggara dan Naik Taraf Institusi Pendidikan Islam JAKIM yang berkuatkuasa, skop projek selenggara dan naik taraf yang layak dipertimbangkan bagi pembiayaan bantuan peruntukan khas tersebut meliputi enam kluster.

“Enam kluster itu meliputi aspek keselamatan, selenggara dan naik taraf infrastuktur, pencegahan kebakaran, pendawaian elektrik, selenggara dan naik taraf bangunan serta sistem perpaipan,” katanya.

Mohd Na'im berkata proses pencerakinan maklumat permohonan, latar belakang IPI dan aspek keperluan sebenar antara elemen utama yang dipertimbangkan bagi memastikan kepatuhan terhadap aspek ketelusan tatakelola dalam penyaluran peruntukan.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jakim komited untuk memastikan agenda memartabatkan syiar Islam dalam negara sentiasa menjadi keutamaan melalui perhatian yang diberikan kepada Institusi Pendidikan Islam di bawah kepemimpinan kerajaan MADANI,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619