AGENDA

PM: Malaysia hargai Mesir sokong negara rakan kerjasama BRICS

10 Nov 2024, 1:30 PM
PM: Malaysia hargai Mesir sokong negara rakan kerjasama BRICS

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Malaysia menghargai usaha Mesir menyokong penyertaan negara sebagai rakan kerjasama dalam BRICS, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Istana Al-Ittihadiya (Heliopolis) di Kaherah, Mesir, hari ini berkata selain BRICS, pertemuan beliau dengan Abdel Fattah turut menyentuh pelbagai perkara dalam usaha memperkukuh hubungan strategik kedua-dua negara.

“Hubungan ini meliputi soal kerjasama dalam bidang pelaburan dan perdagangan, minyak sawit, industri halal, pendidikan, pelancongan, kesihatan serta sumber asli dan tenaga boleh baharu.

“Perbincangan kami turut menyentuh soal BRICS dan Malaysia menghargai usaha Mesir dalam menyokong penyertaan negara sebagai rakan kerjasama,” kata beliau dalam hantaran di laman X hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan kini dalam rangka lawatan rasmi selama empat hari ke Mesir.

Pada 24 Oktober lalu, Malaysia diiktiraf sebagai rakan BRICS serta 12 negara lain iaitu Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

Anwar mengesahkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS semasa perbincangan dengan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva pada 18 Jun tahun ini.

BRICS, asalnya merangkumi Brazil, Rusia, India dan China ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun.

Afrika Selatan menyertainya pada 2010. Blok itu kemudiannya berkembang dengan meliputi Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu.

BRICS mewakili kira-kira 40 peratus daripada populasi global dan menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkumpul US$26.6 trilion atau 26.2 peratus kepada KDNK dunia, hampir menyamai kekukuhan ekonomi Kumpulan Tujuh (G7).

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619