AGENDA

Pas MyTourist dilancar, mudahkan akses pengangkutan awam untuk pelancong

10 Nov 2024, 1:00 PM
Pas MyTourist dilancar, mudahkan akses pengangkutan awam untuk pelancong

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) melalui Rapid KL hari ini melancarkan pas MyTourist yang direka khas untuk memudahkan pelancong domestik dan antarabangsa menikmati pengangkutan awam di ibu kota.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pelancaran pas berkenaan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

Beliau berkata inisiatif ini merupakan langkah bijak dalam menyokong pertumbuhan industri pelancongan yang menjadi antara penyumbang utama kepada pendapatan negara.

“Usaha seperti ini dapat menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia, sekali gus merancakkan sektor pelancongan kita.

“Diharapkan agar inisiatif ini mampu meningkatkan jumlah ketibaan pelancong luar, sekali gus menyokong usaha kerajaan untuk mencapai peningkatan sektor pelancongan yang mampan,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran pas MyTourist di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Pengerusi Kumpulan Prasarana Tan Sri Jamaludin Ibrahim serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah.

Pas MyTourist menawarkan perjalanan tanpa had melalui perkhidmatan rel dan bas kendalian Rapid KL, yang memudahkan pelancong tempatan dan antarabangsa untuk meneroka pelbagai destinasi ikonik di sekitar Kuala Lumpur seperti Muzium Negara, Bukit Bintang, Dataran Merdeka, serta kawasan budaya dan komersial utama lain.

Selain kemudahan perjalanan tanpa had, pas MyTourist turut menawarkan faedah tambahan menarik termasuk diskaun di beberapa lokasi pelancongan, rangkaian makanan dan minuman, pusat beli-belah, dan taman tema terpilih seperti Petrosains, Menara Berkembar Petronas, Sunway Lagoon, dan Menara Kuala Lumpur.

Sementara itu, Loke ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut berkata warganegara Malaysia boleh mendapatkan pas MyTourist dengan harga RM20 untuk sehari, RM30 untuk dua hari, dan RM40 untuk tiga hari, manakala bukan warganegara dikenakan harga dua kali ganda daripada kadar tersebut.

Beliau berkata inisiatif ini menggalakkan lebih ramai orang untuk menggunakan pengangkutan awam ketika bersiar-siar di sekitar ibu kota.

“Kita harap ini dapat memudahkan lebih ramai pengunjung di Kuala Lumpur. Kelebihan pas MyTourist ini juga termasuk kerjasama strategik dengan lebih 30 syarikat lain, termasuk restoran dan kedai yang sering dikunjungi pelancong.

“Dengan adanya pas ini, selain perjalanan tanpa had, pengguna juga boleh menikmati diskaun di kedai-kedai yang bekerjasama dengan Rapid KL. Jadi, ini adalah satu lagi inisiatif yang baik yang saya galakkan untuk Rapid KL,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619