AGENDA

Malaysia kecam serangan Israel, desak PBB lindungi pasukan pengaman

9 Nov 2024, 2:54 AM
Malaysia kecam serangan Israel, desak PBB lindungi pasukan pengaman

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Malaysia menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengambil tindakan segera, tegas dan bersepadu bagi memastikan keselamatan semua anggota pengaman PBB yang melaksanakan mandat majlis itu.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar menegaskan peranan penting Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) tidak sepatutnya dikompromi.

“Malaysia mengutuk serangan rejim Zionis Israel di Sidon, Selatan Lubnan pada 7 November 2024 yang mengorbankan tiga orang awam dan mencederakan enam anggota pengaman Malaysia yang bertugas dalam UNIFIL serta tiga askar Lubnan.

“Serangan haram berterusan Israel mencabul Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa, Konvensyen Geneva dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701 yang merupakan asas kepada mandat UNIFIL untuk melaksanakan misi dan operasi di rantau berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Malaysia sekali lagi menegaskan bahawa keselamatan pasukan pengaman PBB serta petugas, konvoi dan infrastruktur misi kemanusiaan perlu sentiasa dilindungi dan diutamakan.

Ini merupakan satu kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa yang tidak boleh dikompromi dan harus dipatuhi oleh semua negara tanpa sebarang pengecualian, tegas kementerian yang turut dikenali sebagai Wisma Putra.

Kelmarin konvoi pasukan pengaman PBB diserang ketika melalui bandar Saida di selatan Lubnan. UNIFIL kini sedang menyiasat insiden itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), enam anggota Batalion Malaysia (MALBATT) cedera susulan insiden letupan yang berlaku berdekatan Stadium Saida di Lubnan ketika pergerakan anggota Malbatt 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah pada 1.54 tengah hari waktu Lubnan (7.54 malam waktu Malaysia).

Pasukan itu yang terdiri daripada 220 pegawai dan anggota lain-lain pangkat, baru sahaja tiba di Lubnan bagi meneruskan misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu apabila serangan berlaku.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619